10/29/2009

HADIAH BACAAN KEPADA ORANG YANG TELAH MATI; SATU POLEMIK MASA KINI


“SETIAP YANG HIDUP PASTI AKAN MENGHADAPI KEMATIAN” begitulah fitrah dan ketentuan kejadian umat manusia di atas muka bumi ALLAH SWT. Namun akhir-akhir ini umat Islam khususnya sudah tidak lagi mengingati hakikat kehidupan yang dilalui mereka.

Menjadi satu persoalan kepada kita, Apakah kita sudah mempersiapkan segala bekalan untuk menghadapi mati? Bagaimana pula hadiah bacaan dan amalan yang disampaikan oleh mereka yang masih hidup kepada kita yang telah mati kelak?

Tentunya pelbagai pandangan kita dapati sekiranya persoalan ini diperdebatkan. Pastinya pula ada yang pernah mendengar jawapan dari para-para ilmuwan Islam masa kini yang menyatakan “TIDAK SAMPAI BACAAN orang hidup kepada orang yang telah MATI”. Tidak perlu menjawab, cukup senyum, diam dan berteka-teki di dalam hati.

Tulisan ini bukannya untuk menjawab pandangan mereka yang menyatakan “TIDAK SAMPAI BACAAN” tetapi bertujuan menjelaskan beberapa pandangan intelektual Islam kontemporari yang menyatakan sebaliknya.

Dr. Ahmad Asy-Syarbashi di dalam kitabnya yang bertajuk Yas’alunaka Fi ad-Din wa al-Hayah telah berkata “Mereka mendapat manfaat dari amal kebajikan yang dilakukan orang hidup, seperti perbuatan sedekah, ibadah dan doa”.

Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud, Turmudzi dan Nasa’i yang berbunyi ; “Jika anak Adam meninggal dunia maka terputuslah seluruh amal perbuatannya, kecuali tiga perkara : sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya”. Dapat difahamkan bahawa peranan anak soleh adalah mendoakan kesejahteraan ibubapanya di dunia, di alam barzakh dan di akhirat kelak. Malahan bukan sekadar doa yang boleh dikerjakan oleh anak tersebut akan tetapi segala macam bacaan ayat-ayat al-Quran dapat disampaikan pahalanya kepada kedua ibubapa disamping dirinya sendiri beroleh pahala daripada ALLAH SWT.

Rangkaian syair yang dipetik dari kitab tersebut berbunyi “ Jika anak Adam mati, maka tidak mengalir baginya dari perbuatan kecuali yang sepuluh ; ilmu yang disebarkan, doa anak, menanam pohon kurma, sedekah yang mengalir, mewariskan kitab, mewakafkan tempat, menggali sumur, mengalirkan sungai, rumah yang dibangunkan untuk orang asing berteduh, dan bangunan tempat menyebut serta mengajar al-Quran”.

Kitab Roh yang karangan Syeikhul Islam Ibnu Qayyim al-Jauziah juga telah menyebut di antara di dalamnya bahawa roh umat Islam mendapat manfaat dari apa-apa amalan saudaranya yang masih hidup.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Hasyr ayat 10 bermaksud : Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka(berdoa dengan) berkata, “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman..

Berdasarkan hadis yang disepakati daripada Abu Hurairah bermaksud : Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya dan membaca di rumahnya atau kuburnya nescaya diampun dosanya.

Pandangan ‘Ulama Muta’akhirin pula berpendapat tidak menjadi kesalahan membaca al-Quran begitu juga zikir, berdoa dan menghadiahkan pahalanya kepada mayat dan ia akan menerima pahala itu. insyaALLAH. Malahan di dalam pandangan mazhab Syafie juga menegaskan bahawa pahala bacaan akan sampai kepada mayat. Sebagai contoh membaca surah al-Fatihah, Yasin dan sebagainya. Pendapat inilah yang masyhur diamalkan pada zaman sekarang.

Ibnu Qudamah pula berkata hadis yang menyebut dalam matannya “Mendapat manfaat orang yang mati kerana sedekah yang dilakukan bagi pihaknya” merupakan hadis sahih. Ini jelas menunjukan orang mati mendapat manfaat dengan semua ibadah, kerana puasa, doa dan istiqfar adalah ibadah tubuh badan, di mana ALLAH SWT telah menyampaikan manfaat kepada si mati maka begitu jugalah dengan perbuatan ibadah yang lain.

Al-Subki pula menyebut bahawa ayat al-Quran apabila dibaca dengan bertujuan bagi memberi manfaat kepada orang telah mati agar dapat meringankan bebananya maka ia memberi manfaat atasnya.

Al-Qadi Hussyan mengharuskan mengupah orang untuk membaca al-Quran di sisi orang mati. Demikian itu, dapat kita ambil bahawa umat Islam hari ini yang masih mengamalkan mengupah orang untuk membaca al-Quran ke atas kematian ahli keluarganya adalah berdasarkan pandangan ini.

Diamati di dalam kitab al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu yang dikarang oleh Syeikh Hujjatul Islam Muta’akhirin Dr. Wahbah al-Zuhaili juga secara terbuka menyatakan bahawa terdapat dua perbezaan pandangan ulama mengenai bacaan ke atas mayat dan hadiah pahala kepadanya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa tiada halangan untuk meneruskan amalan membaca apa-apa surah dari al-Quran untuk dihadiahkan kepada sesiapa yang telah mati.

Dikuatkan lagi di sini dengan satu Qaedah Fiqhiyyah iaitu “Perselisihan Pandangan Ulama merupakan Satu Rahmat”. Oleh demikian, POLEMIK yang berlaku dalam masalah ini bukanlah satu kerugian dan titik pemisah.

Konklusinya, tidak wajar sesama kita saling bertengkaran masalah cabang. Malahan semua itu boleh memecahbelahkan perpaduan dan jamah Islam sendiri. Sepatutnya kita mencari titik persamaan demi memperjuangkan syariat dan memperkasakan syiar Islam. MUTIARA KATA, kurangkan fahaman sempit, ketaksuban mazhab dan kejumudan fikiran dalam mendalami SYARIAT ISLAM.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

kalendar

Penulis Blog

My photo
Seorang pengamal undang-undang syarie yang tinggal di utara tanah air...Nama sebenar adalah Muaz ibn Marzuki al-Hayazi ibn Ahmad al-Kedahi Berminat dengan perkongsian ilmu mengenai Islam.

artikel terkini