12/16/2009

MURID-MURID MAZHAB AL-SHAFIE




Kesempatan yang terlapang ini, menarik minat saya untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat semua mengenai salasilah anak murid al-Imam al-Shafie Rahimahullah ta’ala. Di antara murid-murid yang terkenal ialah :

1. Imam Ahmad bin Hanbal ialah pengasas mazhab Hanbali
2. Daud al-Zahiri ialah pengasas mazhab Zahiriyah
3. Abu Thawr ialah pengasas mazhab al-Thawri
4. Ibnu Jarir al-Tabari ialah pengasas mazhab al-Tabari

Selain itu, terdapat anak-anak muridnya yang mendasari mazhab al-Syafie (mazhab al-Qadim)semasa Imam Syafie RH berada di Iraq. Mereka ialah :

1. Abu Thawr Ibrahim bin Khalid al-Kalbiy al-Baghdadiyy (meninggal 240H)
2. Ahmad bin Hanbal (meninggal 241H)
3. Al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabah al-Za’faraniyy al-Baghdadiyy (meninggal 260H)
4. Abu ‘Ali al-Hasan bin ‘Ali al-Karabisiyy (meninggal 245H)
5. Ahmad bin Yahaya bin ‘Abd al-‘Aziz al-Baghdadiyy


Terdapat juga anak-anak muridnya yang mendasari mazhab al-Syafie (mazhab al-Jadid)semasa Imam Syafie RH berada di Mesir. Mereka ialah :

1. Abu Ya’qub Yusuf bin Yahya al-Buwaytiyy (meninggal 231H)
2. Abu ibrahim Isma’il bin Yahya al-Muzaniyy (meninggal 264H)
3. Al-Rabi’ bin sulayman bin ‘Abd al-Jabbar bin Kamil al-Muradiyy (meninggal 270H)
4. Harmalah bin Yahya bin ‘Abdullah (meninggal 243H)
5. Yunus bin ‘Abd al-A’ala al-Sadafiyy al-Misriyy (meninggal 264H)


Antara fuqaha’ mazhab Syafie ialah :

1. Ahmad bin ‘Umar bin surayj (Ibnu Surayj) (meninggal 306H)
2. Muhammad bin Ibrahim bin al-Mundhir (Ibn Mundhir) (meninggal 309H)
3. ‘Ali bin Muhammad bin Habb al-Mawardiyy (meninggal 450H)
4. Ibrahim bin ‘Ali bin Yusuf bin ‘Abd al-Shiraziyy (al-Shiraziyy) (meninggal 476H)
5. Abu alQasim ‘Abd al-Karim bin Muhammad bin ‘Abd al-Karim bin al-Fadl al-Rafi’iyy (al-Rafi’iyy) (meninggal 623H)
6. Shams al-A’immah Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Sharbiniyy (al-Sharbiniyy) (meninggal 977H)
7. Muhammad bin Ahmad bin Hamzah Shams al-Din al-Ramliyy (Syeikh al-Ramliyy) (meninggal 1004H)


BUKU-BUKU YANG DIRENCANAKAN OLEH MURID-MURID DAN FUQAHA’NYA :

1. Abi Ibrahim Ismail bin Yahya al-Muzani
Mukhtasar al-Muzani

2. Al-Qadi Abi al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi
Al-Hawi al-Kabir, al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah

3. Al-Shaykh Abi Ishaq Ibrahim bin ‘Ali al-Fayruzabadi al-Shirazi
Al-Muhadhdhab, al-Tanbih

4. Abi Hamad Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Tusi
Al-Wasit

5. Al-Qadi Shihab al-Din Ibrahim bin Abdullah (Ibn Abi al-Dam al-Hamawi)
Adab al-Qada’

6. Imam Abi Zakariyya bin sharaf al-Nawawi
Minhaj al-Talibin, Rawdah al-Talibin, al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab

7. Badr al-Din Muhammad bin Bahadur bin Abdullah al-Zarkashi
Al-Manthur fi al-Qawaid

8. Jalal al-din ‘Abd al-Rahman bin Abi Bakr bin Muhammad al-Suyuthi
Al-Ashbah wa al-Naza’ir

9. Shaykh Shams al-din Muhammad bin Ahmad al-Sharbini al-Khatib
Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj

10. Shams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Ramli al-Misri
Nihayah al-Muhtaj ila Sharh Alfaz al-Minhaj


Bersambung pada penulisan akan datang mengenai sejarah Imam Besar al-Shafie RH....
29 Zulhijjah 1430 hijrah, Kulim, Kedah Darul Aman...


BACA SELANJUTNYA... - MURID-MURID MAZHAB AL-SHAFIE
Baca selanjutnya.. - MURID-MURID MAZHAB AL-SHAFIE

12/11/2009

Saman Penghutang Penghakiman (Bahagian I)



Ulasan Penulis :
Penulisan ini disediakan adalah bagi menjelaskan sedikit sebanyak mengenai langkah dan tindakan yang boleh diambil bagi masalah keengganan seseorang untuk membayar hutang atau menunaikan penghakiman atau juga dipanggil perintah mahkamah.

Alhamdulillah,,,
Saman Penghutang Penghakiman adalah suatu saman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah di atas permintaan pemiutang penghakiman melalui satu permohonan mendapatkan saman penghutang penghakiman. Permohonan permintaan ini hendaklah difailkan sendiri oleh pemiutang atau melalui peguam syarienya dengan mengunakan borang MS 42 (rujuk Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang 2004).

Saman penghutang penghakiman ini dikeluarkan kepada seseorang yang berhutang atau penghutang penghakiaman yang telah enggan dan ingkar menyelesaikan hutang penghakiman. Setelah permohonan mendapatkan saman penghutang penghakiman difailkan kepada mahkamah, maka mahkamah akan mengeluarkan suatu saman penghutang penghakiman. Seksyen 175, 176 dan 177 Enakmen Tatacara Mal Negeri Pulau Pinang memperuntukkan mengenainya.

Bagi menjelaskan lagi, permohonan permintaan saman penghutang penghakiman hendaklah mengandungi maklumat seperti nama penghutang, no, kad pengenalan penghutang, alamat terkini penghutang dan jumlah hutang penghutang penghakiman.

Setelah mahkamah mengeluarkan suatu saman penghutang penghakiman, maka saman tersebut atau dipanggil ringkasnya (SPP) hendaklah diserahkan secara kerdiri kepada penghutang di dalam masa (7) tujuh hari sebelum tarikh pendengaran saman itu ditetapkan.

Pada hari pendengaran SPP, maka mahkamah atau peguam syarie pemiutang boleh dan hendaklah memeriksa penghutang penghakiman mengenai pembayaran sekiranya penghutang mendakwa membayarnya atau memeriksa kewangannya sekiranya penghutang mendakwa tidak mampu membayar.

Penghutang penghakiman hendaklah membawa segala bukti-bukti bagi menjawab akan maksud saman tersebut. Contoh, penghutang penghakiman mendakwa telah membuat bayaran perintah mengenai nafkah anak sebanyak RM 300.00 sebulan secara memasukkan ke dalam akaun bank anak. Oleh itu, slip atau resit pembayaran hendaklah dikemukakan penghutang semasa hari pemeriksaan itu nanti. Seandainya pula, pembayaran dibuat secara terus kepada anak, maka saksi kontrak pembayaran hendaklah dibawa bersama.

Peguam syarie pemiutang penghakiman pula, hendaklah mengajukan beberapa soalan mengenai masa bayaran, jumlah bayaran dan bentuk bayaran yang telah dibuat oleh penghutang. Malah, peguam syarie boleh meminta supaya penghutang mengemukakan apa-apa bukti mengenai pembayaran. Begitu juga seandainya bukti pembayaran disokong oleh saksi penghutang, maka peguam syarie boleh mengajukan soalan kepada saksi penghutang.
Jika penghutang penghakiman tidak hadir pada hari pendengaran ditetapkan dan berdasarkan bukti serahan, SPP telah berjaya diserah kepada penghutang. Maka mahkamah boleh mengarahkan atau peguam syarie pemiutang boleh memohon kepada mahkamah supaya mengeluarkan suatu waran tangkapan ke atas penghutang penghakiman.

Namun demikian peguam syarie pemiutang boleh memohon kepada mahkamah supaya memerintahkan penghutang penghakiman membayar jumlah hutang tersebut secara tunai atau secara ansuran tanpa terlebih dahulu mengeluarkan waran tangkap.

Apa-apapun bentuk prosiding di atas, mahkamah memerintahkan atau peguam syarie pemiutang boleh memohon kepada mahkamah untuk mengadakan perbincangan di antara pemiutang dan penghutang penghakiman. Dan persetujuan yang diperolehi di antara mereka boleh diendorskan kepada mahkamh sebagai perintah. Sebagai contoh, Si A (penghutang penghakiman) telah berhutang berjumlah RM 4, 000.00 kerana tidak melaksanakan perintah bayaran ansuran selama 10 bulan sebanyak RM 400.00 sebulan kepada anak. Kemudian setelah perbincangan dibuat di antara mereka, maka Si B (pemiutang penghakiman) bersetuju bahawa Si A (penghutang penghakiman) hendaklah membayar jumlah hutang tersebut secara ansuran sebanyak RM 200.00 sebulan sehingga selesai. Lantaran itu, persetujuan mereka boleh diendorskan sebagai perintah mahkamah dan penghutang hendaklah melaksanakannya.

Mahkamah adalah berkuasa memerintahkan apa-apa jenis bentuk pembayaran berkaitan hutang tersebut samada secara sekaligus atau ansuran sekiranya perbincangan yang dijalankan tidak mencapai persetujuan.

Bersambung dalam bahagian seterusnya.....
BACA SELANJUTNYA... - Saman Penghutang Penghakiman (Bahagian I)
Baca selanjutnya.. - Saman Penghutang Penghakiman (Bahagian I)

Hutang ; Konsep dan Pemahaman Ringkas (Bahagian Pertama)





Ulasan Penulis :
Di bawah tajuk ini, saya kan cuba ulas dan kupaskan beberapa konsep dan kefahaman mengenai masalah hutang. Dan tajuk ini juga akan disambungkan dengan tajuk akan datang iaitu “Saman Penghutang Penghakiman”.

Alhamdulillah,,,
Hutang dari segi bahasa bermaksud potong. Dari segi istilah ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.


Pengertian secara khususnya pula bermakna segala jenis tanggungan hutang ke atas seseorang berupa harta yang wajib dibayar. Manakala ibn Abidin menyifatkan hutang ialah satu tanggunganyang terbentuk daripada suatu kontrak atau disebabkan oleh sesuatu kemudharatan yang menimpa seseorang kerana tindakan orang lain. Ibn Human pula berkata, hutang ialah harta yang berada dalam tanggungan seseorang yang wajib dibayar seperti gantirugi sesuatu kerosakkan, hutang harga barang, kontrak manfaat dan sewaan. Jumhur ulama Syafie, maliki dan hambali mentakrifkan bahawa hutang ialah satu tanggungan harta yang sabit disebabkan oleh sesuatu yang berlaku ke atas seseorang. Muktakhirin iaitu Dr. Wahbah al-Zuhaily memberikan definisi yang lebih mudah iaitu kontrak khusus yang melibatkan penyerahan harta mithliy kepada individu tertentu dan individu tersebut akan memulangkan semula harta mithliy yang sama dengannya dalam tempoh masa tertentu.

Firman Allah SWT di dalm surah al-Baqarah ayat 245 bermaksud : “Siapakah orangnya (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagi pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah SWT melipatgandakan balsannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah SWT jualah yang menyempit dan Yang Meluaskan (pemberi rezeki) kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”. Dan ayat yang lain pula “Apabila kamu berhutang maka, hendaklah kamu catatkan”. Surah al-Baqarah 282. Dan dalam ayat yang lain “Jika penghutang berada di dalam kesukaran untuk membayar maka tunggulah sehingga masa dia senang”. Al-Baqarah 280.

Kemudian hadis nabi saw dari Abu Hurairah ra pula bermaksud “Sesiapa yang mengambil hak milik orang (berhutang) dan dia mahu membayarnya semula nescaya Allah SWT akan membayarkan untuknya. Sesiapa yang mengambilnya untuk memusnahkannya (tidak mahu membayarnya) nescaya Allah SWT akan memusnahkannya (mengazabkannya).

Dari Abu Hurairah lagi bahawa nabi saw telah bersabda bermaksud : “Sesiapa yang melapangkan orang Islam dari kesusahan / kesedihan hidup di dunia, maka Allah SWT melapangkan kesusahan / Kesedihan dari kesusahan / kesedihannya di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang dalam kesulitan, maka Allah SWT memudahkannya di dunia dan di akhirat. Allah SWT menolong hambanya, selama hambaNya menolong saudaranya”.

Hutang pada asalnya adalah harus. Tetapi hukum ini akan berubah kepada beberapa hukum lain sekiranya tindakan berhutang tersebut mempunyai agenda dan matlamat tertentu. Hutang menjadi Haram apabila hutang itu digunakan untuk semua perkara-perkara yang diharamkan. Kemudian, makruh berhutang apabila menggunakan utuk perkara-perkara yang tidak mendatang sebarang manfaat dan faedah. Dan wajib berhutang apabila hutang tersebut dapat menampung kehidupan penghutang dan keluarganya daripada masalah ekonomi.

Rukun-rukun dalam kontrak urus tadbir hutang ini ada 5 iaitu penghutang, pemiutang, barang yang dihutang, lafaz penawaran penghutang dan persetujuan pemiutang. Disyaratkan pula kepada penghutang dan pemiutang itu mestilah seorang yang waras akal fikirannya, kemudian hutang tersebut bukanlah atas dasar paksaan dan mestilah kerelaan penghutang serta pemiutang seorang yang mampu memberikan hutang. Syarat juga dikenakan ke atas barang yang dihutang, di antaranya ialah barang-barang yang dihutang boleh dimiliki dan sah untuk urusniaga jual beli secara salam. Selain itu, barangan hutang juga mestilah barangan yang boleh dibayar atau digantikan semula. Dalam aspek lafaz penawaran dan persetujuan pula tiada syarat yang terperinci dikhusukan. Memadai sekadar lafaz yang digunakan difahami oleh kedua-dua pihak yang berakad.

Hutang juga mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri dan mestilah ia dipatuhi dalam setiap urus tadbir ini. Pertamanya, kadar hutang mestilah diketahui di dalam majlis akad. Tidak kiralah walau dalam apa-ap pun bentuk seperti timbagan, bilangan, nilai tambah, ukuran, keluasan dan sebagainya. Kedua pula, hutang tersebut mestilah satu jenis dan tidak bercampur dengan jenis yang lain. Sebagai contoh berhutang sebungkus gula yang terdapat di dalam bungkusan tersebut juga campuran garam dan tepung.

*sambungan di dalam bahagian kedua....
10 Disember 2009, 18:14:48 pm, Kulim, Kedah darul Aman
BACA SELANJUTNYA... - Hutang ; Konsep dan Pemahaman Ringkas (Bahagian Pertama)
Baca selanjutnya.. - Hutang ; Konsep dan Pemahaman Ringkas (Bahagian Pertama)

12/10/2009

Penyakit Moden

Ulasan :

Sebenarnya penulisan ini bertajuk “Wabak Remaja” dan telah dihasilkan pada 24.06.2008. Namun ianya tidak dapat dipaparkan di dalam blog ini kerana terlepas pandang. Maka hari ini saya mengambil kesempatan untuk berkongsi pandangan dan percambahan pemikiran dengan pembaca semua mengenai masalah anak muda sekarang melalui tajuk yang diberikan nafas baru“Penyakit Moden”.

Akhir-akhir kita dapati anak-anak muda atau remaja sudah hanyut dibuai era kecanggihan teknologi dan keserenokkan. Inilah yang membimbangkan kita umat Islam kerana gejala seperti ini bakal mengundang bala dan malapetaka Allah SWT. Cukup sudah pengajaran yang Allah SWT turunkan di Acheh, Yogjakarta, Bandung, Pulau Pinang dan sebagainya.

Dalam mengejarkan kehidupan yang sempurna dengan sudut tamadunnya namun kita masih dibelakang pada sudut akhlak dan moral belia dan remaja kita. Cetusan-cetusan idea golongan muda juga tidak pernah jemu demi menyambung budaya songsang mereka. Realitinya, kita sama-sama dapat menyaksikannya seperti gejala rempit, clubbing atau disko, coupling atau berpasangan, dadah, syabu dan banyak lagi.

Budaya songsang ini terus berkuasa di bumi kita tetapi penyelesaiannya tampak begitu sukar. Pelbagai inisiatif yang dilakukan pihak kerajaan demi memulihkan pemikiran dan moral mereka malangnya semuanya tidak memberi sedikit kesan dan perubahan. Seolah-olah tuang air di atas daun keladi tiada sebarang impak kepadanya.

Sedar atau tidak semua ini berlaku adalah daripada kesilapan struktur pemerintahan dan perundangan kita. Bukan untuk menunding kepada mana-mana pihak tetapi ini adalah hakikat yang telah berlaku dan pasti akan terus berlaku. Islam telah membuat satu titik tolak mengenai semua hal dalam kehidupan malangnya kita umat Islam yang mengingkarinya. Akibatnya semua ini bercambah pesat hasil daripada ketidakpekaan umat Islam dalam melaksanakan tuntutannya.

“Barangsiapa yang mencari agama (cara hidup dan budaya) selain daripada Agama Islam, maka ia kembali Allah SWT (PenciptaNya) dalam keadaan yang rugi (dalam kesesatan)”

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT melarang hambanya mencari dan mengutip sebarang ajaran, fahaman, prinsip dan cara hidup selain daripada Agama Islam.

“Sesungguhnya agama disisi Allah SWT adalah ISLAM”

Penjelasan ayat-ayat Allah SWT ini sudah cukup untuk menegaskan bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hambanya agar berpegang pada al-Quran dan al-Sunnah. Tiada sedikit pun pengeceualian untuk kita mengabaikannya dengan melakukan larangan dan tegahanNya.

Kegagalan pihak-pihak tertentu yang bertanggungjawab dalam menyelesaikannya turut memberi satu tamparan yang hebat kepada perkembangannya. Apa tidaknya, hukuman kesalahan, tindakan susulan, tangkapan dan keanjalan sistem pemerintahan menyuntik kepada peningkatan peratusan masyarakat yang terlibat dalam gejala berkenaan.

Sedih, apabila melihat anak-anak muda kita bangsanya MELAYU dan agamanya pula ISLAM mengadai maruah hidup dan memperdagangkan kesucian Islam ditembok-tembok, jalanan, bawah jambatan, pusat membeli belah, pusat hiburan dan sebagainya demi mendapat keserenokkan yang celaka untuk seketika waktu.

“Penzina perempuan dan penzina lelaki maka sebatlah daripada tiap-tiap keduanya seratus kali sebatan”

“ Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (najis/keji) dari perbuatan syaitan”

“Dan janganlah kamu campakkan dirimu di dalam kebinasaan, maka perelokkanlah sesungguhnya Allah SWT menyukai kepada orang-orang memperelokkan diri”

Rangkaian firman Allah SWT ini memperkukuhkan lagi laranganNya terhadap hambaNya supaya mengerjakan yang makruf (kebaikan) dan meninggalkan yang mungkar (kejahatan). Kenyataan ini ditujukan kepada semua pihak samada orang awam, anak-anak muda, orang tua, pemimpin, pemerintah dan segenap lapisan agar mentaatiNya.

“Setiap di antara kamu adalah pemimpin (ketua) dan setiap di antara kamu bertanggungjawab di atas apa yang telah dipimpinnya”

Saya hadirkan pembuktian al-Quran dan Al-Sunnah ini adalah semata-mata untuk mengajak semua supaya tidak leka dan alpa dengan kemewahan serta sentiasa menjaga hati supaya mengingati tuntutan dan larangan Allah SWT .

Konklusinya, segala kesesatan, kefasikan, kerosakkan, keruntuhan akhlak dan budaya masyarakat adalah berpunca daripada kesilapan dan tindakan kita sendiri dalam melayani arus kehidupan yang penuh dengan pancaroba. Semua pihak harus bertanggungjawab dalam menanggani dan menyekatnya dari terus bermaharajalela. Bermula dari institusi yang kecil iaitu keluarga, kampung daerah, pekan, negeri dan negara umumnya. Usahlah menyalahkan orang lain ataupun pihak-pihak berkuasa sahaja.

Kejahatan dan kemungkaran itu asalnya daripada nafsu. Nafsu itu lahir dalam diri sendiri bukannya paksaan atau orang lain. Memerangilah nafsu sendiri sebelum memerangi nafsu orang lain.

“ Kita baru menempuhi jihad yang kecil, selepas ini kita akan menempuhi jihad yang besar. Apa itu jihad yang besar kata sahabat? Jawab Rasulullah saw; jihad yang besar ialah jihad melawan nafsu sendiri”
BACA SELANJUTNYA... - Penyakit Moden
Baca selanjutnya.. - Penyakit Moden

FIQH JINAYAT (DIYAT, TAKZIR, GHURRAH, KIFFARAH, ARSH)

Jenayah Diyat

Definisi

Pengertian Diyyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau ahli waris mangsanya sebagai ganti rugi disebabkan melakukan sesuatu jenayah, seperti mencederakan anggota badan atau melukakan atau membinasakan.

Pembahagian diyyat adalah terbahagi kepada dua jenis iaitu Diyyat Muqhallazah (Ganti Kerugian Berat) dan Diyyat Muqhaffah (Ganti Kerugian Ringan).

Ganti kerugian berat sebanyak 100 ekor unta yang dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :-

1-30 ekor unta yang berumur 3 tahun
2-30 ekor unta yang berumur 4 tahun.
3-40 ekor unta yang sedang bunting.
Manakala ganti kerugian ringan pula sebanyak 100 ekor unta yang dibahagikan kepada lima jenis :-

1-20 ekor unta yang berumur 3 tahun.
2-20 ekor unta yang berumur 4 tahun.
3-20 ekor unta betina yang berumur 2 tahun.
4-20 ekor unta jantan yang berumur 2 tahun.
5-20 ekor unta betina yang berumur 1 tahun.

Diyat kerana luka yang terdapat dan berlaku di kepala atau di muka atau di anggota yang lain terdapat sepuluh jenis luka :

(a)Luka yang mengoyakkan kulit
(b) Luka yang mengoyakkan daging selepas kulit
(c) Luka yang mengalirkan darah
(d) Luka yang tertembus di dalam daging
(e) Luka yang tinggal di antaranya dan antara tulang kulit yang nipis
(f) Luka yang ternampak tulang
(g) Luka yang mematahkan tulang dan yang menghancurkannya
(h) Luka yang menampakkan dan yang menghancurkan tulang hingga berpindah daripadanya ke beberapa tulang
(i) Luka yang sampai kepada kulit kepala
(j) Luka yang sampai kepada rongga


Jenayah Takzir
Definisi

Syariat Islam tidak menyenaraikan hukuman Takzir secara terperinci. Ia juga tidak menyenaraikan kesalahan-kesalahan bagi jenayah takzir. Hukuman terhadap pesalah diserahkan kepada pemerintah Islam untuk menetapkannya berdasarkan kepentingan masyarakat umum, tahap kesalahan pesalah, keadaan masa berlakunya kesalahan dan tempat.

Hukuman Takzir adalah hukuman yang tidak ditentukan dan ditetapkan kadarnya oleh syarak (al-Quran dan al-Sunnah), di mana hukuman takzir ini adalah tertakluk di bawah kuasa hakim secara mutlak mengenai jenis dan kadar hukuman yang akan dijatuhkan dan dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu.

Walaupun begitu hukuman takzir terhadap orang yang mempunyai kedudukan adalah berbeza jika dibandingkan dengan hukuman terhadap kutu jalan ataupun orang jahat. Kedudukan ini berdasarkan sebuah hadith.

Riwayat ‘Aisyah r.a yang bermaksud;
“Ampunilah orang-orang yang mempunyai kedudukan di atas kesalahannya kecuali hudud”

Antara hukuman takzir yang terdapat dalam catatan beberapa orang fuqaha ialah:-

(a) Hukuman Bunuh
(b) Hukuman Pukul
(c) Hukuman Sebat
(d) Hukuman Penahanan
(e) Hukuman buanag Daerah
(f) Hukuman Salib Tetapi Membenarkan Makan, Minum, Berwuduk Dan Solat Dengan Isyarat Sahaja
(g) Memberi nasihat
(h) Mengisytiharkan Nama Pesalah Atau Mendedahkan Dirinya Kepada Umum
(i) Tidak Berurusan Dengan Pesalah
(j) Mencela Iaitu Menggunakan Kata-kata Yang Keras Tetapi Tidak Memaki Hamun
(k) Memberi Amaran
(l) Mengenakan Denda
(m)Merampas Harta Benda
(n) Menghitamkan Muka
(o) Menanggalkan Pakaian Selain Menutup Auratnya
(p) Mencukur Rambut Teteapi Tidak Pada Janggutnya.


Jenayah / Hukuman Ghurrah

Definisi

Pengertiannya dari segi bahasa ialah barang yang terpilih, dan asalnya keputihan pada muka kuda. Dan dari segi istilah pula Ghurrah ialah seorang hamba lelaki atau perempuan yang tidak cacat, dan nilainya sama dengan lima ekor unta. Hamba lelaki hendaklah hendaklah berumur antara tujuh tahun hingga lima belas tahun. Hamba perempuan hendaklah berumur antara tujuh tahun hingga dua puluh tahun.


Jenayah / Hukuman Kifarat

Definisi

Pengertian Kifarah ialah menebus kesalahan-kesalahan jenayah yang telah dilakukan dengan cara-cara tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu (al-Quran dan al-Sunnah). Terdapat banyak jenis Kifarah iaitu Kifarah Kesalahan Jenayah, Kifarah Berjunub Siang Hari Ramadan, Kifarah Sumpah, Kifarah Zihar dan Kifarah ‘illa’.

Terdapat dua cara perlaksananaan kifarah iaitu :-

1. Cara-caranya adalah :-

· Merdekakan seorang hamba, atau;
· Memberi pakaian sepuluh orang miskin, atau;
· Memberi makan sepuluh orang miskin, atau;
· Berpuasa tiga hari berturut-turut.
(Untuk kesalahan kifarah sumpah dan ‘illa)

2. Cara-caranya adalah :-

-Merdekakan seorang hamba yang beriman, ataupun;
-Berpuasa dua bulan berturut-turut, ataupun;
-Memberi makan enam puluh orang miskin.
(Untuk kesalahan berjunub di siang hari ramadhan, kifarah zihar dan kifarah jenayah)

Jenayah / Hukuman Arsh

Definisi

Pengertiannya ialah apabila kecederaan itu merosakkan sebahagian anggota dari bilangannya yang sempurna seperti tercedera sebelah tangan ataupun sebatang jari. Arsh terbahagi kepada dua jenis. Pertama ialah arsh yang kadarnya yelah ditetapkan oleh syarak. Kedua ialah arsh yang diserahkan kepada budi bicara hakim yang mewakili pihak pemerintah untuk menetapkannya.
BACA SELANJUTNYA... - FIQH JINAYAT (DIYAT, TAKZIR, GHURRAH, KIFFARAH, ARSH)
Baca selanjutnya.. - FIQH JINAYAT (DIYAT, TAKZIR, GHURRAH, KIFFARAH, ARSH)

FIQH JINAYAH (HUDUD)



FIQH JINAYAH (UNDANG-UNDANG JENAYAH)

KESALAHAN JENAYAH DAN HUKUMANNYA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM (AL-QURAN DAN AL-SUNNAH)




Pembahagian Jenayah Di sisi Islam.



  • Jenayah Hudud
  • Jenayah Qisas / Diyyat
  • Jenayah Takzir
  • Jenayah / Hukuman Ghurrah
  • Jenayah / Hukuman Kafarat



Jenayah Hudud

Definisi

Hudud merupakan kesalahan yang dikenakan hukuman hudud. Kesalahan dalam bahagian ini dianggap sebagai kesalahan terhadap hak Allah SWT kerana perbuatan ini menyentuh kepentingan masyarakat umum iaitu menjejaskan ketentaraman dan kselematan orang ramai dan hukumannya pula memberi kebaikan kepada mereka.


Pengertian hudud ialah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah SWT di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hukuman hudud ini adalah hak Allah SWT yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah suai dan dipinda.

Kesalahannya ialah :-
a)Jenayah Zina
b)Jenayah Tuduhan Zina (al-Qazaf)
c)Jenayah Minum Arak (al-Kamru)
d)Jenayah Mencuri
e)Jenayah Merompak
f)Jenayah Murtad
g)Jenayah Penderhakaan Terhadap Pemerintah Islam Yang Adil


Jenis Kesalahan dan Hukumannya

Hukuman Zina :-
Hukuman Dewasa : 100 sebatan bagi belum berkahwin dan Rejam bagi berkahwin
Hukuman Kanak-kanak : Takzir namun mengikut budi bicara Hakim

Hukuman Tuduhan Zina (al-Qhazaf) :-
Hukuman Dewasa : 80 sebatan
Hukuman Kanak-kanak : Takzir namun mengikut budi bicara Hakim

Hukuman Minum Arak (al-Khamru) ialah :-
Hukuman Dewasa : 40 sebatan
Hukuman Kanak-kanak : Takzir namun mengikut budi bicara Hakim

Hukuman Mencuri (al-Sirqhah) ialah :-
Hukuman Dewasa : Potong tangan, sekiranya diulang maka dipotong anggota tangan dan kaki secara berselang.
Hukuman Kanak-kanak : Takzir namun mengikut budi bicara Hakim

Hukuman Merompak (al-Harabah) ialah :-
Hukuman Dewasa : Bunuh balas sekiranya berlaku pembunuhan
Potong Tangan sekiranya rompakan sahaja.
Hukuman Kanak-kanak : Takzir namun mengikut budi bicara Hakim

Hukuman Murtad (al-Riddah) ialah :-
Hukuman Dewasa : Bunuh sekiranya enggan bertaubat setelah tiga kali diarah dan diberi ruang serta peluang.
Hukuman Kanak-kanak : Takzir namun mengikut budi bicara Hakim

Hukuman Menderhaka Terhadap Kerajaan Islam (al-Baqii)ialah :-
Hukuman Dewasa : Memerangi mereka dan meminta supaya tunduk dan kembali kepada Islam.
Hukuman Kanak-kanak : Takzir namun mengikut budi bicara Hakim
BACA SELANJUTNYA... - FIQH JINAYAH (HUDUD)
Baca selanjutnya.. - FIQH JINAYAH (HUDUD)

12/09/2009

Hukum Dadah




Persoalan :
Baru-baru terdapat di dalam ini ditanya mengenai hukum dadah dan rokok serta dalil al-Quran dan al-Hadith mengenai kedua-duanya.

Ulasan :
Saya akan cuba ulas dan jelaskan beberapa pandangan ulama-ulama mutakhirin mengenai hukum keduanya masalah tersebut.

Sememangnya telah diketahui hal ini menjadi bualan hangat dewasa ini. Sehubungan itu juga, isu gejala penyalahgunaan dadah telah menjadi satu masalah yang memeningkan negara kita. Baik dari segi pemulihan mahupun penguatkuasaan. Penjara dan hukuman sudah tidak lagi praktikal dalam menangani hal ini. Anak-anak muda terus menceburi bidang ini sebagai langkah awal untuk bergelar doktor diri sendiri.

Dadah bermaksud ubat-ubatan, bahan (seperti ganja, heroin, marijuana dan sebagainya) yang merosakkan atau membinasakan orang yang menggunakannya secara berlanjutan (merosakkan kesihatan, membawa maut, dan lain lagi). Begitulah menurut Kamus Dewan. Manakala dalam kamus Bahasa Inggeris (Longman; Dictionary of Contemporary English), dadah disebut sebagai Drug (an illegal subtance that people smoke or inject to make them feel happy or excited). Membawa maksud satu bahan terlarang yang dihisap atau disuntik untuk membuatkan mereka berasa gembira dan teruja.

Di dalam buku Undang-undang Dadah Berbahaya, terdapat banyak pengertian dan penjelasan tentang dadah dan jenis-jenisnya. Namun, tidak perlu dinukilkan kerana sebenarnya matlamat penulisan ini adalah bagi menjelaskan hukum-hukum mengenainya. Cumanya dirasakan agak menarik seandainya dinyatakan beberapa pengertian dadah dalam pelbagai sudut.
Merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud : “Janganlah kamu lemparkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berbuat baik”.

Maksud tersebut, jelaslah menunjukkan keharaman ke atas umat Islam menganiayai dan melakukan sesuatu perkara yang membawa kebinasaan kepada tubuh badan mereka. Kita telah maklum bahawa pengambilan dadah membawa kepada kesan-kesan buruk seperti HIV, tindakan luar kawal, mabuk, lupa ingatan, tidak terurus, merosakkan akal fikiran, menjatuhkan maruah, meruntuhkan agama dan sebagainya. Maka sudah tentulah Islam melarang dengan keras aktiviti-aktiviti tersebut.

Saya mengajak kembali melihat “maqasid syariah” itu sendiri yang mensasarkan lima matlamat utamanya iaitu memelihara agama, memelihara akal, memelihara keturunan, memelihara maruah dan memelihara nyawa. Menghancurkan matlamat ini sangat dilarang dan ditegah di dalam Islam.

Ulama-ulama juga sama sekali telah menyebut mengenainya. Di antara mereka ialah Imam Ahmad bin Hanbal telah meriwatkan di dalam musnadnya bahawa “Rasulullah saw melarang segala sesuatu yang memabukkan dan segala yang mengkhayalkan” hadis ini diriwayatkan oleh Ummu salamah r.a (al-Musnad 6/309).

Imam Ibn Hajar telah memasukkan penggunaan narkotin ke dalam kategori dosa-dosa besar. Ibn Taimiyyah pula menyebut bahawa ijmak Muslimin mengatakan sesungguhnya ganja haram, dan orang yang menghalalkannya serta meminumnya adalah telah kafir (terj; Yas’alunaka, Ahmad –Syarbashi m/s 311).

Kaedah Fiqhiyyah juga menjelaskan situasi ini iaitu “al-Dharar yuzal” bermakna kemudharatan hendaklah dihilangkan. Manakala hadis nabi saw yang bermaksud “Tiada kemudharatan dan tiada memudharatkan” hadis riwayat oleh Ibn Abbas (terj; ‘Ashbahu Wa al-Nazhair fi Qawaid al-Fiqhiyyah, m/s 182-183).

Walaubagaimanapun terdapat beberapa keadaan tertentu yang membenarkan penggunaan dadah iaitu ketika di dalam kedaan dharurat (terpaksa), pengubatan dan urusan pembedahan. Tetapi hari ini, pengambilan dadah di kalangan anak-anak muda bukanlah bertujuan kepada keadaan tersebut. Sebaliknya mereka mencari alternatif pintas untuk menyelesaikan masalah peribadi, studi dan famili. Dan akhirnya menjerat mereka ke lembah durjana ini.

Oleh itu, dapatlah saya konklusikan bahawa sememangnya tiada hukum yang jelas menyebut tentang pengharaman dadah di dalam al-Quran dan hadis. Akan tetapi, banyak bertebaran larangan Allah SWT dan tegahan Nabi Muhammad saw ke atas perlakuan dan perbuatan yang memberi kesan buruk dan negatif kepada diri seseorang Islam. Maka jauhilah dadah, sesungguhnya dadah menghancurkan Islam. Barangsiapa yang menghancurkan Islam maka tergolong di dalam golongan mereka yang kafir.
BACA SELANJUTNYA... - Hukum Dadah
Baca selanjutnya.. - Hukum Dadah

12/01/2009

10 HADIS MAUDHU’ DI SISI IMAM AL-SUYUTHI

Alamdulillah, bersyukur kehadrat Allah swt kerana dapat juga saya menyenaraikan 10 hadis maudhu’ di sisi Imam al-Suyuthi dalam blog ini. Walaubagaimanapun, masih terdapat kelemahan dalam penulisan atau penyenaraian ini. Di antaranya disebabkan saya tidak sertakan bersama matan hadis berkenaan dan hanya sekadar mafhum atau maksudnya sahaja. Namun demikian, InsyaALLAH saya akan cuba paparkan matan hadis tersebut dalam tempoh terdekat.

Justeru itu, saya mengharap sangat sekiranya terdapat apa-apa kesilapan di dalam penulisan ini, maka sahabat-sahabat semua segeralah betulkan dan berikan teguran di dalam ruangan komen blog. Semoga usaha-usaha itu dapat mempertingkatkan hasil penulisan saya kelak.

Sebenarnya penulisan ini bertujuan untuk berkongsi pengetahuan mengenai hadis-hadis dan klasifikasinya supaya kita semua tidak terkeliru. Didapati hari ini, ramai di antara kita selalu mendengar isu mengenai hadis palsu, hadis dhaif dan sebagainya. Lantaran itu, penulisan yang tidak seberapa ini dimeteraikan di dalam blog agar ianya sedikit dapat menyumbang ke arah kebaikan bersama.

Berikut adalah sepuluh Hadis Maudhu’ di sisi Imam al-Suyuthi :


Hadis Pertama :
“Allah swt melaknati orang-orang yang melihat aurat orang mukmin dan orang yang dilihat auratnya.”
Sanad ini di antaranya dari Ishaq bin Najih, dari Ibad bin Rasyid al-Manqiri dari al-Hasan, dari Imran bin Husain ra.

Hadis Maudhu’ oleh al-Suyuthi di dalam kitabnya Dzail Ahadiths al-Maudhu’ah.

Hadis Kedua :
“Barangsiapa berlaku ikhlas kepada Allah swt selama empat puluh hari, akan muncullah sumber kebijakan (hikmah) pada lisannya.”
Sanad ini daripada Muhammad bin Isma’ dari Abd Khalid Yazid al-Wasithi dari Hajjaj dari Makhul.
Hadis ini Dhaif oleh al-Suyuthi dalam kitabnya al-La’ali.

Hadis Ketiga :
“Rasulullah saw tidak meninggal dunia hingga beliau telah dapat membaca dan menulis.”
Sanad ini dari Abi Aqil al-Tsaqati, dari Mujahid, dari Aun bin Abdillah bin Utbah, dari ayahnya.
Hadis ini Maudhu’ oleh al-Suyuthi dalam kitabnya Dzail Ahadiths al-Maudhu’ah.

Hadis Keempat :
“Melihat mushhaf adalah ibadah, pandangan anak kepad orang tuanya adalah ibadah, dan memandang kepada Ali bin Abi Thalib adalah ibadah.”
Sanad ini daripada Muhammada bin Zakaria bin Dinar, dari al-Abbas bin Bakkar dari Abbad bin Katsir, dar Abu Zbair dari Jabir bin Abdillah r.a.
Hadis ini Maudhu’ oleh al-Suyuthi dalam kitabnya al-La’ali.

Hadis Kelima :
“Pilihlah orang-orang yang bermuka manis dan bermata hitam. Kerana sesungguhnya Alah swt merasa malu mengazab orang yang berwajah indah dengan siksa api neraka.”
Sanad ini daripada Hasan bin Ali bin Zakaria al-Adawi.
Hadis ini Maudhu’ oleh al-Suyuthi dalam kitabnya al-La’ali.

Hadis Keenam :
“Darah yang melekat sebesar dirham, harus dicuci dan kerananya sembahyang diulang.”
Sanad ini daripada Nuh bin Abi Maryam dari Yazid al-Hasyimi dari al-Zuhri dari Abi Salamah.
Hadis ini Maudhu’ oleh al-Suyuthi dalam kitabnya al-La’ali.

Hadis Ketujuh :
“Segala puji bagi Allah swt mengubu sendiri jenazah anak perempuan adalah kemuliaan.”
Sanad ini daripada Urak bin Khalid bin Yazid dari Uthman bin Atha, dari ayaha dari Ikrimah dari Ibnu Abbas r.a.

Hadis ini Maudhu’ oleh al-Suyuthi dalam kitabnya al-La’ali.

Hadis Kelapan :
“Apabila seorang dari kalian menjimak isterinya atau buda wanitanya, maka jangan melihat kepada kemaluanya, kerana yang demikian dapat menyebabkan kebutaan.”
Sanad ini daripada Hisyam bin Khalif, dari Buqyah, dari Ibnu Juraij dari Atha dari Ibnu Abbas r.a.
Hadis ini Maudhu’ oleh al-Suyuthi dalam kitabnya al-La’ali.

Hadis Kesembilan :
“Barangsiapa menikah sebelum menunaikan ibadah haji, maka ia telah mulai bermaksiat.”
Sanad ini daripada Ahmad bin Jumhur al-Qarqasani dari Muhammad bin Ayyub dari ayahnya dari Raja’ bin Rauh dari Bintu Wahbin bin Munabbih dari ayahnya dari Abu Hurairah r.a.
Hadis ini Maudhu’ oleh al-Suyuthi dalam kitabnya al-La’ali.

Hadis Kesepuluh :
“Bila datang bulan Ramadhan, pada awal malamnya Allah swt memperhatikan akhluknya. Bila Allah swt memperhatikan makhlukNya, maka Ia tidak mengazabnya selamanya. Dan Allah swt setiap malamnya membebaskan sejuta manusia dari siksaan api neraka.”
Sanad ini daripada Hammad bin Zinad, dari al-A’raj, dari Abu Hurairah r.a.
Hadis ini Maudhu’ oleh al-Suyuthi dalam kitabnya al-La’ali.
BACA SELANJUTNYA... - 10 HADIS MAUDHU’ DI SISI IMAM AL-SUYUTHI
Baca selanjutnya.. - 10 HADIS MAUDHU’ DI SISI IMAM AL-SUYUTHI

11/24/2009

Aqiqah : Satu Teori Kefahaman

Aqiqah pada bahasa bermaksud potong. Pada segi syarak bermaksud haiwan yang disembelih untuk bayi sewaktu mencukur rambutnya. Hukumnya adalah sunat muaakad sahaja kepada wali ke atas anak atau bayi tersebut yakni membawa maksud bapa atau datuk.

Sabda nabi yang bermaksud “Rasulullah saw ditanyakan tentang aqiqah, sabda Baginda saw : “Allah SWT tidak sukakan al-‘Uquq (Putus silaturrahim – derhaka), seolah-olah Baginda saw tidak suka sembelihan itu dinamakan sebagai aqiqah. Sabda Baginda saw : “Barangsiapa yang dikurniakan anak lalu dia suka untuk melakukan ibadat kerananya maka lakukanlah ibadat itu” diriwayatkan oleh Abu Daud.

gambar hiasan ini disunting dari blog.fatiniz.com


Sabdanya lagi, bermaksud “Bersama bayi itu aqiqah, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan (iaitu kekotoran dan najis) diriwayatkan oleh Bukhari”.

Sunat aqiqah ini dilaksanakan diwaktu bayi dilahirkan dengan cukup sempurna sifat dari perut ibunya dan berterusan sehinggalah bayi tersebut mencapai usia baligh. Setelah mencapai usia baliqh bapa atau walinya tidak lagi dituntut. Namun anak itu boleh melakukan aqiqah untuk dirinya sebagai memenuhi perkara yang tertinggal.

Disunatkan lagi bahawa menyembelih seekor kambing untuk anak perempuan dan dua ekor untuk anak lelaki. Situasi pada zaman sekarang pula, di mana kebiasaan masyarakat membahagikan seekor lembu kepada tujuh bahagian. Maka, konsep yang sama digunakan iaitu sebahagian untuk anak perempuan dan dua bahagian untuk anak lelaki.


Syarat-syarat Aqiqah :
1. Orang yang menyembelih adalah ISLAM.
2. Binatang yang disembelih mestilah cukup umur ;
a) Kambing biri-biri : Satu tahun lebih dan ke atas.
b) Kambing biasa, unta dan lembu : Dua tahun lebih dan ke atas.
3. Binatang yang hendak disembelih mestilah sihat yang masih mempunyai hayat mustaqqirah (tidak sakit dsb)
4. Penyembelihan itu hendaklah memutuskan halkumdan urat merih.
5. Penyembelihan hendaklah dilakukan dengan cepat dan sekaligus.
6. Alat untuk sembelihan hendaklah tajam. Tetapi dilarang mengunakan kuku atau gigi atau tulang. Maka digalakkan mengunakan pisau.
7. Penyembelihan itu mestilah keran Allah SWT dan bukannya keran yang lain selain Allah SWT.

Selain tuntutan melakukan Aqiqah diwaktu mencukur rambut bayi, maka terdapat beberapa lagi amalan-amalan sunat dilakukan bersama pada hari ketujuh. Di antaranya ialah memberikan nama yang baik kepada bayi tersebut seperti Abdul Rahman, Abdul Syukur, Mujahid dan sebagainya. Dilarang di dalam Islam memberikan nama-nama yang membawa maksud yang buruk sebagai contoh “hamiah” bermaksud api neraka dan banyak lagi.

Seterusnya, menyedekahkan emas atau perak yang sama timbangan dengan rambut bayi yang dipotong. Mudah-mudahan anak itu nanti menjadi seorang yang suka bersedekah dan murah rezeki. Disunat juga, melakukan “tahnik” iaitu membelah bibir bayi dengan buah kurma atau apa-apa makanan manis. Hikmahnya ialah semoga bayi tersebut menjadi seorang bersifat sopan santun, berbudi pekerti, manis senyuman dan sebagainya.

Manakala sunat-sunat yang dituntut dari aspek pengurusan aqiqah pula ialah dimasak terlebih dahulu daging dengan masakan yang manis dan disedekahkan daging dan kuahnya kepada orang miskin. Tulang binatang yang diaqiqahkan pula janganlah dipatah-patahkan. Memadailah dengan dipotong pada sendinya sahaja dan manakala kakinya disedekahkan kepada bidan di dalam keadaan mentah.


Islam telah menyarankan perlaksanaan aqiqah kerana didapati manfaatnya yang amat jelas. Ibadat ini juga mendapat pahala dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Malahan lagi, hubungan persaudaraan yang telah wujud dapat dirapatkan, baik sesama ahli keluarga mahupun jiran tetangga. Oleh itu, diharapkan semoga amalan ini terus dilakukankan oleh umat Islam hari ini supaya ianya akan terus kekal ke generasi akan datang.

2009, 24 November, Kulim Kedah Darul Aman. Ibnu al-Hayazi (Jurnal & Artikel Ilmiah 11/09)
BACA SELANJUTNYA... - Aqiqah : Satu Teori Kefahaman
Baca selanjutnya.. - Aqiqah : Satu Teori Kefahaman

11/23/2009

Lukisan Kemenangan Terpancar Di Sebalik Pengorbanan….

Meneroka pelusuk seantario dunia demi memenuhi tuntutan rohani. Menyimpan azam yang pasti tinggi untuk melaung semangat harmoni. Biarlah beribu cercaan dan kutukan. Teruskanlah keberanian dan kemampuan selagi diri yakin teguh..

Hujan dan hutan belantara, itulah antara halangan dan dugaan yang harus ditempuhi. Tetapi kesabaran menjadi benteng penyelamat. Samada terkubur atau lebur begitu sahaja. Nun jauh di luar jendela rumah, kelihatan seorang lelaki mengalas beg dan melangkah longlai. Destinasi dituju tiada diketahui. Pelbagai lemparan dan andaian terus diperkatakan. Namun, sudah pasti pandangan kita penuh pendustaan.

Langkahan pada awalnya nampak tiada bermaya, namun dipertengahan panas perjalanan, langkahan tadi terus bersaing. Arah dituju masih samar, ancaman yang menunggu belum dipersiapkan. Mampukah diteruskan atau cukup di situ. Seadainya, dihentikan perjalanannya sudah tentu langkahan sebelum ini menjadi sia-siaan.

Persimpangan di hadapan bukan lagi empat tapi menjadi lapan. Dua kali gandaannya. Cukup memberi erti pengorbanan bukan sekadar melukis dan juga mewarnai. Penat lelah perjalanan kini tiba ke destinasi. Segala keperitan yang saban hari dilalui sudah kian pergi menghilang bersama nafas-nafas kegembiraan. Apa tidaknya, impian selama ini yang dinanti menyapa menjadi milik hakiki.

Segulungan pengiktirafan dan penghargaan sedang berada di dalam gengaman erat jari jemari tangan. Lelaki yang mengalas beg itu telah begelar graduan. Bangganya pada hari itu, tiada lagi dinafikan. Lukisan Kemenangan Terpancar Di Sebalik Pengorbanan…. Begitulah kenikmatan dalam mengejar kekayaan ilmu.
BACA SELANJUTNYA... - Lukisan Kemenangan Terpancar Di Sebalik Pengorbanan….
Baca selanjutnya.. - Lukisan Kemenangan Terpancar Di Sebalik Pengorbanan….

Pengajaran


“Cerita ini mengisahkan seorang pelajar dan gurunya dalam sesi dialog

mereka yang memberi impak yang amat mendalam dalam kehidupan seharian”


Dialog ini terjadi di antara pelajar dan gurunya dalam satu masa yang penuh dramatik. Sungguhpun, penceritaan ini tidak begitu panjang akan tetapi manfaat yang dapat diambil sudah cukup memberi satu persepsi baru kepada umat sejagat......


Kuala Lumpur, Julai 2009...

Sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah agama yang terletak di utara semenanjung telah membuat satu lawatan sambil belajar ke sebuah institusi pengajian tinggi awam di Lembah Kelang. Lawatan tersebut disertai seramai 20 orang pelajar dan seorang guru. Perjalanan mereka mengambil tempoh masa yang panjang hingga menyebabkan mereka semua keletihan setiba di sana.

IPT manakah menjadi pilihan mereka?


Mereka telah mengambil keputusan untuk berehat terlebih dahulu sebelum memulakan lawatan mereka ke IPTA tersebut. Hotel budget di ibu negera menjadi tempat menginap mereka. Kerenah pelajar-pelajar jelas tertampak, apabila ada dikalangan mereka yang mengadu tidak selesa bermalam di Hotel itu. Guru mereka hanya menasihat supaya ingat tujuan mereka datang ke sini.

Bagaimana penerimaan pelajar-pelajar di atas nasihat tersebut?


Keesokkannya...

Kesemua delegasi dari SMA itu bergerak menuju ke IPTA pilihan mereka. Perjalanan dari hotel mengambil masa hampir 30 minit kerana terpaksa menghadapi kesesakan jalanraya yang teruk di ibu kota. Demi mencari sebuku pengalaman, mereka tetap bersemangat merendah liku jalanan untuk ke sana.


Di IPTA...

Pelajar-pelajar terus melangkah kaki dengan penuh jayanya dan semangat mengelilingi IPTA. Semua sudut diperhatikan. Segala pusat dan bilik dilawati mereka tanpa merasa segan silu. Ada dikalangan mereka yang bersua kenal dan bertegur sapa dengan orang-orang di sekitar sana. Pelbagai bangsa dijumpai, ada yang datang dari timur tengah, selatan asia dan termasuk negara Malaysia sendiri.


Nun di hujung astaka rehat, sedang berborak seorang guru dan dua pelajar rombongan. Dari jauh seolah-olah mereka sedang bertengkar mengenai sesuatu. Tapi apabila diamati, sebenarnya satu perbualan ilmiah sedang berlangsung...



Ikutilah perbualan menarik mereka.....

BACA SELANJUTNYA... - Pengajaran
Baca selanjutnya.. - Pengajaran

11/18/2009

Harapan Penulis...

Assalamualaikum wbt..
Kepada pembaca-pembaca, pelayar-pelayar internet dan pengemar-pengemar laman blog...

Ana di sini ingin meluahkan beberapa kekesalan dan kekecewaan. Di mana ana dapati ada suara-suara yang menyatakan segala artikel atau penulisan ana di dalam blog, semuanya “copy & paste”. Ana rasa dakwaan dan tuduhan begitu haruslah dibuktikan dengan bukti-bukti dan sandaran hujah yang kuat.


Sebelum itu, dinyatakan dahulu bahawa istilah “copy” atau dalam bahasa melayunya bermakna salin, membawa makna membuat salinan semula apa-apa yang terkandung di dalam bahan atau sesuatu asalnya kepada tempat lain atau bahan baru. Begitulah lebih kurang maknanya. Jadi, mereka yang menuduh dan mendakwa ana menyalin bererti ana telah melakukan salinan semula kandungan asalnya ke dalam blog ana.


Ana rasa tidak menjadi satu kesalahan, apabila maklumat mentah yang terdapat di dalam kitab muktabar asal atau apa-apa artikel asal diolah semula dengan gaya bahasa yang berbeza. Pendekatan begini pada ana tidak membawa sebarang tujuan peribadi atau sebagainya. Ana mencipta blog ini dan memaparkan artikel di dalamnya adalah bertujuan untuk mengembangkan ilmiah dan turut ingin berkongsi mengenainya.


Firman Allah swt lagi yang bermaksud :
“Berwaspadalah! Laknat Allah swt ke atas orang-orang yang berbohong” surah hud, ayat 18. Manakala mafhum daripada maksud tafsir ayat al-Quran “Fitnah itu besar dosanya berbanding dengan membunuh”.


Walaubagaimanpun, sekiranya ada kalian yang mendakwa sedemikian, maka ana cabar beliau untuk nyatakan dalam komen ana beberapa pembuktian seperti berikut :
a) Tajuk Artikel ana
b) Buku Asal yang ana “Copy”
c) Muka Surat
d) Nama Pengarang


Ana harap sangatlah, kalian semua dapat memahami objektif dan matlamat ana mencipta blog ini dan segala penulisan yang terdapat di dalamnya.
Sekian..Terima kasih..

Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, 3.32 pm, 17 November 2009..
BACA SELANJUTNYA... - Harapan Penulis...
Baca selanjutnya.. - Harapan Penulis...

11/13/2009

Peristiwa..

“Hari-hari berlalu macam biasa. Tiada yang pelik dan tiada yang baru. Tapi hari ini tiga sekawan bangun dari tidur untuk mengemaskan diri ke Gerbang Ilmu. Jauh terpisah dengan keluarga bukan lagi penghalangnya. Begitulah, ketabahan yang membentengkan hati dan perasaan mereka.”

2009, 12 November, Kajang....
Tiga sekawan yang masing-masing baru selesai kuliah terakhir, bergegas pantas keluar dari dewan. Mereka kemudian menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik kawan salah seorang daripada mereka. Kereta tersebut menuju ke Hentian Bas Kajang di Jalan Reko. Ketiga-tiga mereka akan menaiki bas dari hentian berkenaan untuk pulang ke utara tanah air pada jam 10.30 malam.

Haikal, Hanif dan Hisyam itulah nama tiga sekawan yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi awam di Bangi, Selangor. Haikal mengikuti pengajian dalam jurusan Syariah manakala Hanif dalam jurusan Usuluddin dan sementara Hisyam pula dalam jurusan Bahasa Arab. Mereka menjadi sahabat sejak terpaksa bermalam di masjid kerana ketiadaan tempat penginapan.

Setibanya mereka di Hentian Kajang, Hanif meminta diri sekejap untuk menunaikan solat Asar terlebih dahulu. Kawan-kawannya yang lain berada di ruang menunggu penumpang di tingkat atas hentian berkenaan. Haikal dan Hisyam mengambil kesempatan itu untuk melihat suasana riuh di sekitarnya.

Mata mereka sama-sama terarah ke sebuah kedai makan di bawah sebelah bangunan mereka. Ramai orang sedang menjamu selera di sana. Tiba-tiba telefon Haikal berdering. Dia terus menjawab panggilan tersebut. Dalam masa sama, Hanif datang untuk mengajak mereka turun ke bawah bagi memenuhi nafsu perut yang sangat gersang. Haikal memberitahu kepada Hanif dan Hisyam bahawa kawan satu pejabat dengannya berada di restoran menunggu mereka.

Mereka pun bergerak menuju ke restoran itu. Sampai saja mereka di sana, Haikal melihat kawannya Hasrul bersama seorang lelaki yang dia tidak kenal sebelum ini. Hanif dan Hisyam menyapa dan memperkenalkan diri kepada Hasrul. Tetapi malangnya, mereka tidak dapat berborak semeja kerana ruang tidak mengizinkan. Haikal duduk bersembang dengan Hasrul manakala dua orang kawannya berada di meja sebelah. Lelaki yang berada bersama Hasrul ialah Nazri. Hasrul mengenalinya semasa menaiki bas dari Kulim ke Hentian Kajang. Nazri memaklumkan bahawa dia adalah pemandu bas Konsortium dan sedang menunggu trip dari Melaka untuk ke Kelantan pada pukul 9.30 malam.

Satu jam selepas itu........
Haikal dan kawan-kawannya terpaksa berpisah dengan Hasrul kerana hala tuju mereka berbeza. Hasrul menuju ke Bangi untuk mengikuti kursus selama empat hari manakala Haikal dan kawan-kawannya pula akan pulang ke Pulau Pinang. Nazri, lelaki yang baru dikenali tadi mengikut mereka. Nazri memberitahu mereka sementara menunggu bas dari Melaka datang, dia ingin bersama-sama ke surau untuk menunaikan solat jama’ Maghrib dan Isyak.

Surau...........
Nazri meminjam telefon Haikal untuk menghubungi kawannya (pemandu bas) yang dalam perjalanan dari Melaka. Haikal memberinya, tetapi Nazri hanya meminta kawannya menghubungi balik tanpa bercakap panjang. Nazri berbuat demikian sebanyak dua kali. Haikal nampak pelik dengan gelagat Nazri yang tidak bersungguh-sungguh menghubungi kawannya sedangkan Haikal sudah menyuruh bercakap bukannya meminta dihubungi semula.

Atas situasi tersebut, Haikal mengambil telefonnya yang sedang berada dalam tangan Nazri dan meletakkan di dalam begnya serta terus menzipkannya. Mereka telah menunaikan solat jama’ bersama-sama.

15 minit kemudian.....
Setelah selesai menunaikan solat, mereka bergegas ke tingkat atas kerana Haikal dan Hanif hendak ke tandas. Hisyam pula duduk menjaga beg kawan-kawannya itu. Nazri membawa Hanif ke tandas kerana Hanif memaklumkan dia terasa ingin membuang air besar. Manakala Haikal terasa pelik melihat tindak tanduk Nazri. Haikal memberitahu Hisyam bahawa dia curiga dengan perangai Nazri dan meminta Hisyam supaya berjaga-jaga.

Haikal kemudianya menuju ke tandas. Di sana, dia berjumpa dengan Hanif dan Nazri yang baru masuk ke tandas sedangkan mereka lebih awal datang. Haikal tidak banyak bercakap dan terus masuk ke bilik masing-masing.

15 minit kemudian.............
Haikal dan Hanif sama-sama keluar dari tandas dan pantas bergerak ke arah Hisyam. Lagipun, waktu bertolak bas mereka sudah dekat. Haikal terus mencapai begnya untuk turun ke bawah. Tetapi, Hanif nampak pelik dan seolah-olah sedang mencari-cari seseorang. Anak matanya jauh berkeliaran. Hanif kemudian menyuruh Haikal tunggu di atas sekejap dan dia bersama Hisyam turun ke bawah tanpa membawa beg bersama.

Haikal amat pelik dan risau dengan tindakan Hanif. Kemudian, Haikal menghubungi Hisyam dan bertanya, “apa yang telah berlaku?” Hisyam memberitahu bahawa telefon bimbit Hanif ada pada Nazri dan Nazri pula telah menghilangkan diri. Hanif telah menghubunginya namun tiada dijawab oleh Nazri. Keadaan semakin menjadi kelam kabut. Haikal juga cuba menghubungi nombor-nombor yang pernah Nazri hubungi menggunakan telefonnya tadi. Tetapi, semuanya tiada di dalam perkhidmatan. Sangkaan buruk terus menyelubungi fikiran Haikal.

Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 10.10 malam. Masa semakin hampir, namun Nazri juga tidak ditemui. Haikal yakin, usaha untuk menemui Nazri amat tipis sekali. Haikal bergerak menuju ke sebuah kaunter yang berhampiran dengan mereka. Haikal menanyakan penjaga kaunter dengan beberapa soalan. Hasilnya, penjaga kaunter memberitahu bahawa tiada bas Konsortium yang bertolak dari Kajang dan kaunter Konsortium sudah 3 bulan tidak beroperasi di situ. Kekeliruan terus menyelubungi.

Persoalan yang timbul dalam kotak pemikiran Haikal ialah, Siapa Nazri sebenarnya?
BACA SELANJUTNYA... - Peristiwa..
Baca selanjutnya.. - Peristiwa..

11/10/2009

Fasakh & Takliq ; Prosedur Dan Sebutan Di Mahkamah Syariah Pulau Pinang

Prosedur pemfailan kes Fasakh dan Takliq di mahkamah-mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang mempunyai amalan tersendiri sepertimana termaktub di dalam peruntukkan Enakmen Syariah Negeri Pulau Pinang 2004. Oleh demikian, setiap pemohon atau individu tidak boleh sewenang-wenangnya memfailkan kes mereka. Peruntukkan sedia ada haruslah diikuti tanpa mengira lapisan masyarakat atau lapisan jawatan dan pangkat.

Kes Fasakh dan Takliq dimulakan dengan memfailkan saman dan penyata tuntutan yang dibuat oleh pihak pemohon atau Plaintif secara sendirian atau dengan menggunakan khidmat peguam. Saman dan Penyata Tuntutan tersebut akan difailkan di Mahkamah dan Mahkamah akan menetapkan satu tarikh sebutan pertama di mana tempohnya 21 hari dari tarikh difailkan.

Semasa memfailkan saman dan penyata tuntutan ia juga mesti disertakan dengan dokumen penting pengenalan diri seperti salinan kad pengenalan, salinan pengesahan qariah permastautinan (bagi yang bukan berasal Negeri Pulau Pinang), salinan surat perakuan pernikahan dan salinan surat kelahiran anak.

Tempoh 21 hari yang diberikan oleh pihak mahkamah adalah untuk membuat serahan saman secara kendiri kepada pihak Defendan (suami). Maksud secara kendiri adalah menyerah terus kepada Defendan dan Defendan pula hendaklah menurunkan akuan atau tanda tangan sebagai mengaku menerima satu salinan saman dan penyata tuntutan.

Fakta di dalam Penyata tuntutan pula mestilah dinyatakan dengan jelas dan dapat memberi kefahaman kepada Defendan. Di dalamnya juga hendaklah menyebut secara khusus peruntukkan seksyen yang tepat mengenai tuntutan. Sebagai contoh perceraian takliq mestilah dibuat di bawah seksyen 50 manakala Perceraian Fasakh pula di bawah seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 2004. Namun perceraian fasakh mempunyai peruntukkan subseksyen yang luas. Oleh yang demikian, pengkhususan mestilah bersesuaian dan bertepatan. Di dalam hal ini, adalah disarankan kepada pihak-pihak yang terlibat agar mendapat khidmat peguam syarie supaya tidak berlaku kesilapan dalam menyediakan tuntutan.

Bentuk dan contoh untuk menyediakan saman dan penyata tuntutan ini boleh didapati di mana-mana Mahkamah Syariah di Pulau Pinang atau pejabat pengamal undang-undang (peguam). Kesalahan bentuk boleh mengundang kesukaran dan kesan negatif kepada setiap tuntutan kes.

Setelah proses serahan saman sempurna yakni dapat diserahkan kepada Defendan dengan cara kendiri. Proses seterusnya ialah sebutan pertama di mana hendaklah Plaintif atau peguamnya memaklumkan kepada mahkamah mengenai status serah saman kepada Defendan. Walau bagaimanapun, sekiranya pihak Defendan telah hadir pada tarikh tersebut. Ini kerana, Tuan Hakim (mahkamah) akan bertanya kepada Defendan samada dia telah menerima saman dan penyata tuntutan atau sebaliknya. Setelah saman diakui diterima oleh Defendan dan tidak bersetuju dengan dakwaan di dalamnya maka mahkamah akan memberikan satu tempoh untuk Defendan memfailkan pembelaan secara sendirian atau melalui peguam. Proses ini dinamakan peringkat menyempurnakan “Pliding” iaitu saling memfailkan tuntutan bertulis.

Pembelaan hendaklah difailkan kepada mahkamah dan Plaintif sebelum tarikh yang ditetapkan. Kandungan pembelaan boleh disertakan dengan memasukkan tuntutan balas atau “Counter Claim”. Di sini menunjukkan bahawa khidmat peguam syarie amat diperlukan bagi mengendalikan peringkat tersebut. Kemudian, secara ringkasnya setelah Defendan memfailkan ke mahkamah pembelaannya maka mahkamah akan mengarahkan kepada Plaintif untuk menjawabnya atau sebaliknya (tidak berhasrat untuk menjawab). Plaintif pula seandainya ingin menjawab pembelaan tersebut maka satu tarikh lain akan diberikan oleh pihak mahkamah sebagai ruang untuk Plaintif menyediakan Jawapan Pembelaan Bertulis secara sempurna dan baik.

Jawapan Pembelaan hendaklah difailkan Plaintif kepada Mahkamah dan Defendan sebelum tiba tarikh ditetapkan. Setelah mahkamah meneliti kesemuanya lengkap iaitu plinding maka mahkamah akan menetapkan satu tarikh perbicaraan. Plaintif dan Defendan juga diarahkan supaya memfailkan Ikatan Dokumen masing-masing sebelum tarikh perbicaraan. Ikatan Dokumen bermaksud setiap dokumen atau keterangan bertulis yang bergantungan dengan kes yang melebihi 3 dokumen. Walau bagaimanapun, proses ini terpulang kepada amalan-amalan sesuatu mahkamah atau Tuan Hakim. Tetapi proses menyediakan ikatan dokumen adalah digalakkan kerana memudahkan dokumen ditender atau dibuktikan serta digunapakai ketika perbicaraan. Contoh-contoh dokumen ialah seperti salinan kad pengenalan, salinan pengesahan qariah, salinan perakuan nikah, salinan sijil kelahiran anak, salinan laporan polis, salinan bil-bil utiliti dan elektrik, salinan resit bayaran, salinan laporan perubatan, salinan perjanjian, gambar-gambar dan sebagainya.

Proses ini adalah dinamakan sebagai peringkat sebutan kes. Peringkat inilah Plaintif dan Defendan akan menyediakan pelbagai persiapan untuk menghadapi peringkat perbicaraan. Dimaklumkan bahawa sebutan kes ini adalah yang melibatkan serahan saman secara kendiri namun untuk kes yang terpaksa dibuat serahan serahan gantian mempunyai sedikit berbeza. Penjelasan mengenai proses serahan gantian akan disediakan selepas ini.

Ikatan dokumen juga akan menghadapi beberapa keadaan yang berbeza. Keadaan itu adalah apabila ikatan-ikatan yang difailkan dipertikaikan kewujudannya. Maka di sini, mahkamah hendaklah mengarahkan bahawa diasingkan dokumen-dokumen yang dipertikaikan kerana satu perbicaraan bagi membuktikan keesahan dan kesahihan dokumen tersebut perlu diadakan. Perbicaraan ini akan melibatkan mahkamah terpaksa memanggil dengan cara “sepina” orang yang bertanggungjawab dengan pengeluaran dokumen atau orang menyedia dan merekod dokumen tersebut.

Proses sebutan boleh menyebabkan berlarutan panjang tempohnya apabila terdapat beberapa situasi seperti pihak-pihak tidak hadir, peguam tidak hadir, proses perlantikkan dan pertukaran peguam, hakim menghadiri kursus, kes-kes kecemasan, proses penyedian dokumen (pliding), proses serahan saman secara gantian dan banyak lagi.

Tulisan ini tidak berhasrat untuk menerang secara satu persatu situasi yang disebut di atas tetapi mungkin beberapa daripadanya dapat dijelaskan. Sekiranya berlaku serahan saman kepada Defendan tidak dapat disempurnakan secara kerdiri maka satu bentuk serahan alternatif atau gantian harus dibuat. Proses ini haruslah dibuat permohonan terlebih dahulu kepada mahkamah samada dengan cara lisan atau bertulis. Selepas mahkamah memberikan kebenaran maka proses berkenaan dapatlah disempurnakan dengan apa-apa cara yang dipohon. Sebagai contoh mengiklankan di dalam akhbar, tampalan di premis atau mahkamah, serah kepada wakil atau orang ketiga dan sebagainya.

Mungkin ada yang tertanya bagaimana pula bentuk proses permohonan bertulis. Itulah yang disarankan dan disebut disetiap para tulisan bahawa khidmat peguam amatlah diperlukan bagi melancarkan segala prosiding sebutan. Kebarangkalian boleh berlaku di mana mahkamah akan menyediakan satu “hard copy” yang diletakkan di papan kenyataan. Tetapi sejauhmana pula pihak-pihak terlibat mampu mengendalikannya tanpa kefahaman undang-undang.

Apa-apa pun terpulang kepada masing-masing. Inilah beberapa prosedur yang harus dilalui setiap tuntutan perceraian Takliq dan Fasakh di Mahkamah Syariah di Pulau Pinang. Semua ini diklasifikasikan sebagai zon sebutan kes di Mahkamah. Sebutan tidak akan panjang kalau tidak panjangnya akal yang terlibat. Renungkan.

Setelah selesai melalui proses sebutan ini Mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan. Kemungkinan rangkaian tarikh perbicaraan penuh atau satu tarikh dan bersambung satu tarikh ditetapkan Mahkamah atas pertimbangan dan keadilan bersama. Prosiding perbicaraan adalah jauh berbeza dengan sebutan. Jelasnya, perbicaraan melibatkan keterangan Plaintif dan Defendan, saksi-saksi, pembuktian dokumen dan sebagainya.

Kerana itu, janganlah asyik mudah menyalahkan Mahkamah Syariah melambatkan kes. Cuba memahami undang-undang dalam situasi sebenar. Sudah tentu satu jawapan jelas dan rasional didapati di sana. Demikian itu, sama-sama dan bersamalah memastikan Mahkamah Syariah sebagai Institusi Kehakiman dan keadilan yang Agung di bumi Allah SWT. InsyaAllah.

BACA SELANJUTNYA... - Fasakh & Takliq ; Prosedur Dan Sebutan Di Mahkamah Syariah Pulau Pinang
Baca selanjutnya.. - Fasakh & Takliq ; Prosedur Dan Sebutan Di Mahkamah Syariah Pulau Pinang

SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL SALAM

Bay a- Salam

Pengertianya :

Bahsa Arab : penyerahan dan al-Taslif bermaksud pendahuluan

Syarak : pembayaran harga barang atau produk dilakukan secara tunai semasa akad dan penyerahan produk tersebut ditangguhkan pada masa hadapa dan perkara tersebt telah dijelaskan di dalam kontrak yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Pensyariatan :

Surah al-Baqarah ayat 2 : 275.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (al-Katsani tth : 201) bermaksud :

“Nabi memasuki Madinah dan mendapati orang-orang Madinah membuat urus niaga al-Salam buah-buahan dua atau tiga tahun,”Lalu Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa membuat urusniaga pada suatu benda maka hendaklah urusniaga tersebut mengikut sukatan dan timbangan tertu serta tempohnya yang tertentu.”

Ijma’ Ulama : Ibn Qudamah, Ibn Munzir menyatakan “setiap ahli ilmu yang dikenali sepakat menyatakan bahawa al-Salam adalah harus.

Rukun-rukun Bay’ al-Salam

1. Aqidan

i) Penjual ii) Pembeli

2. Ma’qud ‘Alaih

i) Barang yang dibeli ii) Harga barang

3. Siqhah

i) Lafaz tawaran ii) Lafaz terimaan

Syarat-syarat Bay’ as-Salam

1. Barangan yang dibeli hendaklah boleh didapati di pasaran.

2. Barang hendaklah dijelaskan kuantiti dan kualitinya dengan mengambil kira faktor yang mempengaruhi harga barangan tersebut.

3. Pembayaran penjualan ini dibuat dengan tunai atau barang sekiranya ianya tidak melibat dua barang ribawi.

4. Masa penyerahan barangan juga perlu ditetapkan semasa kontrak dibuat.

BACA SELANJUTNYA... - SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL SALAM
Baca selanjutnya.. - SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL SALAM

SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL BELI


Jual Beli

Pengertiannya :

Bahasa Arab : Pertukaran sesuatu dengan sesuatu atau pertukaran harta dengan harta atau pertukaran sesuatu dengan harta.

Syarak : Pertukaran harta dengan harta mengikut cara yang khusus yang membawa kepada penyerahan dan penerimaan hak milik.

Dalil-dalil Pembuktiannya :

Surah al-Baqarah 2 : 275

Surah al-Nisa’ 4 : 29

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Sesungguhnya jual beli itu sah dengan adanya kerelaan”

Sepakat ulama mengharuskannya kerana atas dasar keperluan manusia semasa memerlukan pertukaran barang.

Rukun-rukun Jual Beli :

1. Aqidan

i) Penjual

ii) Pembeli

Syarat-syaratnya : mesti kedua-dua ini merupakan orang berakal dan waras. Yakni tidak sah kepada mereka yang gila dan tidak siuman. Kanak-kanak pula mesti mendapat keizinan daripada walinya. Peringkat pengiraan mumaiyiz ialah 7 tahun.

2. Ma’qud ‘Alaih

i) Barang yang dibeli

ii) Harga barang

Syarat-syaratnya :

a) Barang itu wujud

b) Barang itu bernilai dan manfaat

c) Barang itu mampu diserahkan

d) Barang yang dijual jelas diketahui

e) Barang itu ditentukan secar khusus

f) Barang itu hak milik sempurna

Bagi harga, jenis pembayaran juga haruslah ditentukan semasa majlis akad berlangsung, samada ansuran atau tunai.

3. Siqhah

i) Lafaz tawaran

ii) Lafaz terimaan

Syarat-syaratnya :

a) Mesti ada lafaz ketetapan urusan tersebut dengan tiga kriteria iaitu akad jual beli, harganya dan jenis barang itu.

b) Tawaran terima mesti berlaku dalam satu majlis.

c) Muawalat (berturut-turut) di antara tawar dan terima.

d) Tawaran dibuat ketika barang masih ada.

Syarat-syarat Jual Beli

1. Syarat Pembentukkan Kontrak(Syurut al-In’iqad)

Syarat yang perlu ada untuk menjadikan sesuatu kontrak itu terbentuk harus disisi syarak. Syaratnya pula mestilah :

a) (orang berkontrak)

i) Seorang berakal

ii) Berbilang

b) Tempat kontrak - Majlis penawaran dan penerimaan berlaku satu tempat

c) Barang yang dikontrak

i) Wujud dan ada.

ii) Barang bernilai

iii) Dimiliki

iv) Berupaya diserahkan ketika kontrak

d) Syarat pada penawaran dan penerimaam

i) Orang yang berkontrak mestilah berkelayakkan (al-Ahliyah)

ii) Ada persetujuan

iii) Dalam satu majlis

2. Syarat Perlaksanaan (Syurut al-Nafadh)

Terdapat dua syarat padanya :

a) Milik atau kuasa menjaga

b) Barang yang dijual bukannya hak orang lain.

3. Syarat Lazim (Syurut al-Luzum)

Kontrak jual beli mestilah mengandungi salah satu khiyar yang membolehkan salah satu pihak yang berkontrak memfasakhkan kontrak. Jika tidak terdapat khiyar maka kontark tersebut adalah luzum.

4. Syarat Sah (Syurut al-Sihhah)

Syarat ini juga terbahagi kepada dua yakni :

a) Syarat Umum

Syarat umum hendaklah tidak mengandungi salah satu daripada enam kecacatan iaitu ;

i) Kejahilan

- Jahil tentang barang

- Jahil tentang harga

- Jahil tentang tempoh bayaran

- Jahil tentang jaminan

ii) Paksaan

- Paksaan sempurna (ikrah mulji’)

- Paksaan tidak sempurna (ikrah ghair mulji’)

iii) Penangguhan

iv) Tipu

v) Bencana atau Kerugian

vi) Syarat Yang Merosak iaitu Syarat

b) Syarat Khusus

Syarat ini seperti berikut :

i) Terima serahan dalam kontrak penjualan harta tak alih.

ii) Mengetahui harga pertama jika penjualan itu adalah murabahah, wadi’ah

iii) Serah terima dua barang tukaran

iv) Cukup atau sempurna syarat salam

BACA SELANJUTNYA... - SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL BELI
Baca selanjutnya.. - SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL BELI
Related Posts with Thumbnails

kalendar

Penulis Blog

My photo
Seorang pengamal undang-undang syarie yang tinggal di utara tanah air...Nama sebenar adalah Muaz ibn Marzuki al-Hayazi ibn Ahmad al-Kedahi Berminat dengan perkongsian ilmu mengenai Islam.

artikel terkini