10/29/2009

IDDAH; Sorotan Pendapat Mazhab Empat

Definisi;

Dari segi bahasanya ialah tempoh, masa, waktu. Istilahya pula ialah suatu tempoh yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada perempuan daripada berkahwin semula dengan lelaki lain selepas berlaku perceraian. Hikmahnya adalah bagi memastikan kesucian rahim seseorang wanita daripada sebarang kandungan, mengelak berlaku perselisihan mengenai zuriat, menyuruh pasangan terbabit bermuhasabah dengan tindakan tersebut dan memberi ruang kepada pasangan untuk merujuk serta kembali bersama.

Bahagian Iddah;

1. Iddah yang dihitung berdasarkan penyucian
- 3 kali suci
2. Iddah yang dihitung berdasarkan bilangan hari dan bulan
- 3 bulan
- 4 bulan 10 hari
3. Iddah yang dihitung berdasarkan kelahiran
- Perempuan yang mengandung sehingga melahirkan anak
4. Iddah bagi perceraian talak tiga
5. Iddah yang gugur (Janda Berhias)

Tempat Beriddah;

Jumhur Ulama’ menyatakan bahawa tempat beriddah bagi setiap perempuan yang diceraikan adalah di rumah bekas suami atau di rumah yang di sediakan oleh bekas suami sehingga tamat tempoh. Sebagai contoh rumah sewa yang disewakan oleh suami. Di dalam tempoh iddah juga bekas suami hendaklah memberi kepada bekas isteri sehingga tamat tempoh iddah kecuali perceraian talak bain sughra dan kubra.

Masalah-masalah;

1. Iddah bagi perempuan yang disetubuhi secara Syubhat.

Mazhab - Pendapat

Hambali Setiap persetubuhan WAJIB beriddah walaubagaimanapun bentuknya.
Hanafi WAJIB beriddah kecuali persetubuhan kerana akad yang batal.
Maliki WAJIB juga beriddah dan melihat kepada keadaan perempuan yang dicampuri tersebut. Contoh sekiranya dia mengandung maka iddahnya ialah sehingga melahirkan anak.


2. Iddah wanita yang berzina.

Mazhab - Pendapat

Hanafi & Syafie Tidak WAJIB beriddah.
Syafie; Boleh akad nikah serta mencampurinya sekalipun perempuan itu hamil.
Hanafi; Hanya boleh akad nikah sahaja.
Maliki WAJIB beriddah sebagai menyucikannya.
Hambali WAJIB beriddah sepertimana talak


3. Iddah perceraian perempuan yang telah disetubuhi.

Perempuan yang telah disetubuhi dan diceraikan maka iddahnya adalah 3 kali suci. Pengiraan tempoh tiga kali suci ini mempunyai perselisihan di antara mazhab. Berikut di bawah telah dijadualkan perselisihan tersebut

Mazhab - Pendapat

Syafie & Maliki Pengiraan berdasarkan melewati suci sebanyak 3 kali
Hanafi & Hambali Pengiraan berdasarkan melewati 3 kali masa haid.


4. Iddah bagi wanita yang diisytiharkan “Janda Berhias”.

Janda Berhiasa bermaksud perempuan yang diceraikan sebelum disetubuhi. Hal ini, berbeza pandangan ulama mengenai kewajipan beriddah bagi perempuan dalam keadaan demikian. Jadual dibawah menjelaskan perselisihan di antara mazhab empat.
Mazhab - Pendapat

Syafie TIADA WAJIB iddah sekiranya tiada percampuran diantara mereka sekalipun jua pasangan tersebut berkhalwat.

Jumhur Ulama’ TIADA WAJIB sekiranya belum berlaku percampuran dan juga tidak berkhalwat tetapi WAJIB iddah sekiranya pernah berkhalwat.


5. Iddah perempuan yang mengandung.

Iddah bagi perempuan yang mengandung adalah sehingga melahirkan anak. Namun demikan, perselisihan berlaku sekiranya perempuan tersebut mengalami keguguran. Jadual di bawah ini menerangkan perselisihan ulama berkaitan iddah perempuan yang mengalami keguguran.
Keadaan Kelahiran - Pendapat

Sempurna kelahiran Jumhur ulama WAJIB beriddah
Berlaku Keguguran Syafie & Hambali : 3 Kali suci
(Sepotong Daging) Hanafi & Maliki : Tiada iddah


Jadual di bawah mengenai tempoh paling lama seseorang perempuan mengandung.
Mazhab - Pendapat

Hanafi 2 Tahun
Syafie & Hambali 4 Tahun
Maliki 5 tahun


6. Iddah bagi perempuan yang belum datang haid dan telah disetubuhi.

Perempuan yang belum datang haid bermakna perempuan yang belum mencecah usia sembilan tahun. Oleh demikian, pada asalnya tiada wajib beriddah namun ianya berbeza pendapat sekiranya perempuan tersebut sudah biasa dan sering berlaku percampuran(persetubuhan).
Mazhab - Pendapat

Hanafi WAJIB beriddah
Maliki & Syafie TIDAK WAJIB beriddah. Tapi WAJIB kepada perempuan yang sudah biasa berlaku percampuran.
Hambali TIDAK WAJIB walaupun sudah biasa sekalipun.


7. Iddah perempuan yang putus haid.

Iddah perempuan yang diceraikan ketika putus haid adalah 3 bulan bersamaan 90 hari. Umur kebiasaan perempuan yang putus haid seperti jadual di bawah mengikut pendapat Mazhab emapat.

Mazhab - Pendapat

Hambali 50 tahun
Hanafi 55 tahun
Syafie 62 tahun
Maliki 70 tahun

8. Iddah perempuan kematian suami.

Iddah perempuan kematian suami adalah 4 bulan 10 hari sekalipun perempuan tersebut di dalam keadaan belum penah mengalami haid, mengandung, telah mengalami haid, telah putus masa haid, telah dicampuri atau belum dicampuri. Tetapi berbeza pendapat pada keadaan seperti dibawah.

Keadaan semasa Perceraian dan Pendapat Mazhab Empat

Hamil + Mati
JUMHUR ULAMA’ Kembali sepertimana Hamil

3 kali suci + Mati
JUMHUR ULAMA perbaharui dengan iddah

3 kali suci (Bain) + Mati(Permintaan isteri)
JUMHUR ULAMA’ meneruskan dengan 3 kali suci.

3 kali suci (Bain) + Mati(Permintaan Suami)
Syafie & Maliki : Lanjut tempoh Iddah supaya cukup tempoh iddah mati.
Hanafi & Hambali : Ubah iddahnya menjadi iddah mati.

9. Iddah perceraian talak tiga.

Sesuatu perceraian talak tiga yang berlaku hendaklah dirujuk melalui cara perkahwinan semula setelah bekas isteri berkahwin dengan lelaki (muhallil) dan disetubuhi. Jadual dan susunan urutan di bawah menjelaskannya;
  1. Perceraian berlaku dengan “A”
  2. Beriddah
  3. Perkahwinan dengan “B” lain (muhallil) dan disetubuhi
  4. Diceraikan oleh “B”
  5. Beriddah
  6. Perkahwinan semula dengan “A”
BACA SELANJUTNYA... - IDDAH; Sorotan Pendapat Mazhab Empat
Baca selanjutnya.. - IDDAH; Sorotan Pendapat Mazhab Empat

HADIAH BACAAN KEPADA ORANG YANG TELAH MATI; SATU POLEMIK MASA KINI


“SETIAP YANG HIDUP PASTI AKAN MENGHADAPI KEMATIAN” begitulah fitrah dan ketentuan kejadian umat manusia di atas muka bumi ALLAH SWT. Namun akhir-akhir ini umat Islam khususnya sudah tidak lagi mengingati hakikat kehidupan yang dilalui mereka.

Menjadi satu persoalan kepada kita, Apakah kita sudah mempersiapkan segala bekalan untuk menghadapi mati? Bagaimana pula hadiah bacaan dan amalan yang disampaikan oleh mereka yang masih hidup kepada kita yang telah mati kelak?

Tentunya pelbagai pandangan kita dapati sekiranya persoalan ini diperdebatkan. Pastinya pula ada yang pernah mendengar jawapan dari para-para ilmuwan Islam masa kini yang menyatakan “TIDAK SAMPAI BACAAN orang hidup kepada orang yang telah MATI”. Tidak perlu menjawab, cukup senyum, diam dan berteka-teki di dalam hati.

Tulisan ini bukannya untuk menjawab pandangan mereka yang menyatakan “TIDAK SAMPAI BACAAN” tetapi bertujuan menjelaskan beberapa pandangan intelektual Islam kontemporari yang menyatakan sebaliknya.

Dr. Ahmad Asy-Syarbashi di dalam kitabnya yang bertajuk Yas’alunaka Fi ad-Din wa al-Hayah telah berkata “Mereka mendapat manfaat dari amal kebajikan yang dilakukan orang hidup, seperti perbuatan sedekah, ibadah dan doa”.

Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud, Turmudzi dan Nasa’i yang berbunyi ; “Jika anak Adam meninggal dunia maka terputuslah seluruh amal perbuatannya, kecuali tiga perkara : sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya”. Dapat difahamkan bahawa peranan anak soleh adalah mendoakan kesejahteraan ibubapanya di dunia, di alam barzakh dan di akhirat kelak. Malahan bukan sekadar doa yang boleh dikerjakan oleh anak tersebut akan tetapi segala macam bacaan ayat-ayat al-Quran dapat disampaikan pahalanya kepada kedua ibubapa disamping dirinya sendiri beroleh pahala daripada ALLAH SWT.

Rangkaian syair yang dipetik dari kitab tersebut berbunyi “ Jika anak Adam mati, maka tidak mengalir baginya dari perbuatan kecuali yang sepuluh ; ilmu yang disebarkan, doa anak, menanam pohon kurma, sedekah yang mengalir, mewariskan kitab, mewakafkan tempat, menggali sumur, mengalirkan sungai, rumah yang dibangunkan untuk orang asing berteduh, dan bangunan tempat menyebut serta mengajar al-Quran”.

Kitab Roh yang karangan Syeikhul Islam Ibnu Qayyim al-Jauziah juga telah menyebut di antara di dalamnya bahawa roh umat Islam mendapat manfaat dari apa-apa amalan saudaranya yang masih hidup.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Hasyr ayat 10 bermaksud : Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka(berdoa dengan) berkata, “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman..

Berdasarkan hadis yang disepakati daripada Abu Hurairah bermaksud : Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya dan membaca di rumahnya atau kuburnya nescaya diampun dosanya.

Pandangan ‘Ulama Muta’akhirin pula berpendapat tidak menjadi kesalahan membaca al-Quran begitu juga zikir, berdoa dan menghadiahkan pahalanya kepada mayat dan ia akan menerima pahala itu. insyaALLAH. Malahan di dalam pandangan mazhab Syafie juga menegaskan bahawa pahala bacaan akan sampai kepada mayat. Sebagai contoh membaca surah al-Fatihah, Yasin dan sebagainya. Pendapat inilah yang masyhur diamalkan pada zaman sekarang.

Ibnu Qudamah pula berkata hadis yang menyebut dalam matannya “Mendapat manfaat orang yang mati kerana sedekah yang dilakukan bagi pihaknya” merupakan hadis sahih. Ini jelas menunjukan orang mati mendapat manfaat dengan semua ibadah, kerana puasa, doa dan istiqfar adalah ibadah tubuh badan, di mana ALLAH SWT telah menyampaikan manfaat kepada si mati maka begitu jugalah dengan perbuatan ibadah yang lain.

Al-Subki pula menyebut bahawa ayat al-Quran apabila dibaca dengan bertujuan bagi memberi manfaat kepada orang telah mati agar dapat meringankan bebananya maka ia memberi manfaat atasnya.

Al-Qadi Hussyan mengharuskan mengupah orang untuk membaca al-Quran di sisi orang mati. Demikian itu, dapat kita ambil bahawa umat Islam hari ini yang masih mengamalkan mengupah orang untuk membaca al-Quran ke atas kematian ahli keluarganya adalah berdasarkan pandangan ini.

Diamati di dalam kitab al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu yang dikarang oleh Syeikh Hujjatul Islam Muta’akhirin Dr. Wahbah al-Zuhaili juga secara terbuka menyatakan bahawa terdapat dua perbezaan pandangan ulama mengenai bacaan ke atas mayat dan hadiah pahala kepadanya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa tiada halangan untuk meneruskan amalan membaca apa-apa surah dari al-Quran untuk dihadiahkan kepada sesiapa yang telah mati.

Dikuatkan lagi di sini dengan satu Qaedah Fiqhiyyah iaitu “Perselisihan Pandangan Ulama merupakan Satu Rahmat”. Oleh demikian, POLEMIK yang berlaku dalam masalah ini bukanlah satu kerugian dan titik pemisah.

Konklusinya, tidak wajar sesama kita saling bertengkaran masalah cabang. Malahan semua itu boleh memecahbelahkan perpaduan dan jamah Islam sendiri. Sepatutnya kita mencari titik persamaan demi memperjuangkan syariat dan memperkasakan syiar Islam. MUTIARA KATA, kurangkan fahaman sempit, ketaksuban mazhab dan kejumudan fikiran dalam mendalami SYARIAT ISLAM.
BACA SELANJUTNYA... - HADIAH BACAAN KEPADA ORANG YANG TELAH MATI; SATU POLEMIK MASA KINI
Baca selanjutnya.. - HADIAH BACAAN KEPADA ORANG YANG TELAH MATI; SATU POLEMIK MASA KINI
Related Posts with Thumbnails

kalendar

Penulis Blog

My photo
Seorang pengamal undang-undang syarie yang tinggal di utara tanah air...Nama sebenar adalah Muaz ibn Marzuki al-Hayazi ibn Ahmad al-Kedahi Berminat dengan perkongsian ilmu mengenai Islam.

artikel terkini