11/24/2009

Aqiqah : Satu Teori Kefahaman

Aqiqah pada bahasa bermaksud potong. Pada segi syarak bermaksud haiwan yang disembelih untuk bayi sewaktu mencukur rambutnya. Hukumnya adalah sunat muaakad sahaja kepada wali ke atas anak atau bayi tersebut yakni membawa maksud bapa atau datuk.

Sabda nabi yang bermaksud “Rasulullah saw ditanyakan tentang aqiqah, sabda Baginda saw : “Allah SWT tidak sukakan al-‘Uquq (Putus silaturrahim – derhaka), seolah-olah Baginda saw tidak suka sembelihan itu dinamakan sebagai aqiqah. Sabda Baginda saw : “Barangsiapa yang dikurniakan anak lalu dia suka untuk melakukan ibadat kerananya maka lakukanlah ibadat itu” diriwayatkan oleh Abu Daud.

gambar hiasan ini disunting dari blog.fatiniz.com


Sabdanya lagi, bermaksud “Bersama bayi itu aqiqah, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan (iaitu kekotoran dan najis) diriwayatkan oleh Bukhari”.

Sunat aqiqah ini dilaksanakan diwaktu bayi dilahirkan dengan cukup sempurna sifat dari perut ibunya dan berterusan sehinggalah bayi tersebut mencapai usia baligh. Setelah mencapai usia baliqh bapa atau walinya tidak lagi dituntut. Namun anak itu boleh melakukan aqiqah untuk dirinya sebagai memenuhi perkara yang tertinggal.

Disunatkan lagi bahawa menyembelih seekor kambing untuk anak perempuan dan dua ekor untuk anak lelaki. Situasi pada zaman sekarang pula, di mana kebiasaan masyarakat membahagikan seekor lembu kepada tujuh bahagian. Maka, konsep yang sama digunakan iaitu sebahagian untuk anak perempuan dan dua bahagian untuk anak lelaki.


Syarat-syarat Aqiqah :
1. Orang yang menyembelih adalah ISLAM.
2. Binatang yang disembelih mestilah cukup umur ;
a) Kambing biri-biri : Satu tahun lebih dan ke atas.
b) Kambing biasa, unta dan lembu : Dua tahun lebih dan ke atas.
3. Binatang yang hendak disembelih mestilah sihat yang masih mempunyai hayat mustaqqirah (tidak sakit dsb)
4. Penyembelihan itu hendaklah memutuskan halkumdan urat merih.
5. Penyembelihan hendaklah dilakukan dengan cepat dan sekaligus.
6. Alat untuk sembelihan hendaklah tajam. Tetapi dilarang mengunakan kuku atau gigi atau tulang. Maka digalakkan mengunakan pisau.
7. Penyembelihan itu mestilah keran Allah SWT dan bukannya keran yang lain selain Allah SWT.

Selain tuntutan melakukan Aqiqah diwaktu mencukur rambut bayi, maka terdapat beberapa lagi amalan-amalan sunat dilakukan bersama pada hari ketujuh. Di antaranya ialah memberikan nama yang baik kepada bayi tersebut seperti Abdul Rahman, Abdul Syukur, Mujahid dan sebagainya. Dilarang di dalam Islam memberikan nama-nama yang membawa maksud yang buruk sebagai contoh “hamiah” bermaksud api neraka dan banyak lagi.

Seterusnya, menyedekahkan emas atau perak yang sama timbangan dengan rambut bayi yang dipotong. Mudah-mudahan anak itu nanti menjadi seorang yang suka bersedekah dan murah rezeki. Disunat juga, melakukan “tahnik” iaitu membelah bibir bayi dengan buah kurma atau apa-apa makanan manis. Hikmahnya ialah semoga bayi tersebut menjadi seorang bersifat sopan santun, berbudi pekerti, manis senyuman dan sebagainya.

Manakala sunat-sunat yang dituntut dari aspek pengurusan aqiqah pula ialah dimasak terlebih dahulu daging dengan masakan yang manis dan disedekahkan daging dan kuahnya kepada orang miskin. Tulang binatang yang diaqiqahkan pula janganlah dipatah-patahkan. Memadailah dengan dipotong pada sendinya sahaja dan manakala kakinya disedekahkan kepada bidan di dalam keadaan mentah.


Islam telah menyarankan perlaksanaan aqiqah kerana didapati manfaatnya yang amat jelas. Ibadat ini juga mendapat pahala dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Malahan lagi, hubungan persaudaraan yang telah wujud dapat dirapatkan, baik sesama ahli keluarga mahupun jiran tetangga. Oleh itu, diharapkan semoga amalan ini terus dilakukankan oleh umat Islam hari ini supaya ianya akan terus kekal ke generasi akan datang.

2009, 24 November, Kulim Kedah Darul Aman. Ibnu al-Hayazi (Jurnal & Artikel Ilmiah 11/09)
BACA SELANJUTNYA... - Aqiqah : Satu Teori Kefahaman
Baca selanjutnya.. - Aqiqah : Satu Teori Kefahaman

11/23/2009

Lukisan Kemenangan Terpancar Di Sebalik Pengorbanan….

Meneroka pelusuk seantario dunia demi memenuhi tuntutan rohani. Menyimpan azam yang pasti tinggi untuk melaung semangat harmoni. Biarlah beribu cercaan dan kutukan. Teruskanlah keberanian dan kemampuan selagi diri yakin teguh..

Hujan dan hutan belantara, itulah antara halangan dan dugaan yang harus ditempuhi. Tetapi kesabaran menjadi benteng penyelamat. Samada terkubur atau lebur begitu sahaja. Nun jauh di luar jendela rumah, kelihatan seorang lelaki mengalas beg dan melangkah longlai. Destinasi dituju tiada diketahui. Pelbagai lemparan dan andaian terus diperkatakan. Namun, sudah pasti pandangan kita penuh pendustaan.

Langkahan pada awalnya nampak tiada bermaya, namun dipertengahan panas perjalanan, langkahan tadi terus bersaing. Arah dituju masih samar, ancaman yang menunggu belum dipersiapkan. Mampukah diteruskan atau cukup di situ. Seadainya, dihentikan perjalanannya sudah tentu langkahan sebelum ini menjadi sia-siaan.

Persimpangan di hadapan bukan lagi empat tapi menjadi lapan. Dua kali gandaannya. Cukup memberi erti pengorbanan bukan sekadar melukis dan juga mewarnai. Penat lelah perjalanan kini tiba ke destinasi. Segala keperitan yang saban hari dilalui sudah kian pergi menghilang bersama nafas-nafas kegembiraan. Apa tidaknya, impian selama ini yang dinanti menyapa menjadi milik hakiki.

Segulungan pengiktirafan dan penghargaan sedang berada di dalam gengaman erat jari jemari tangan. Lelaki yang mengalas beg itu telah begelar graduan. Bangganya pada hari itu, tiada lagi dinafikan. Lukisan Kemenangan Terpancar Di Sebalik Pengorbanan…. Begitulah kenikmatan dalam mengejar kekayaan ilmu.
BACA SELANJUTNYA... - Lukisan Kemenangan Terpancar Di Sebalik Pengorbanan….
Baca selanjutnya.. - Lukisan Kemenangan Terpancar Di Sebalik Pengorbanan….

Pengajaran


“Cerita ini mengisahkan seorang pelajar dan gurunya dalam sesi dialog

mereka yang memberi impak yang amat mendalam dalam kehidupan seharian”


Dialog ini terjadi di antara pelajar dan gurunya dalam satu masa yang penuh dramatik. Sungguhpun, penceritaan ini tidak begitu panjang akan tetapi manfaat yang dapat diambil sudah cukup memberi satu persepsi baru kepada umat sejagat......


Kuala Lumpur, Julai 2009...

Sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah agama yang terletak di utara semenanjung telah membuat satu lawatan sambil belajar ke sebuah institusi pengajian tinggi awam di Lembah Kelang. Lawatan tersebut disertai seramai 20 orang pelajar dan seorang guru. Perjalanan mereka mengambil tempoh masa yang panjang hingga menyebabkan mereka semua keletihan setiba di sana.

IPT manakah menjadi pilihan mereka?


Mereka telah mengambil keputusan untuk berehat terlebih dahulu sebelum memulakan lawatan mereka ke IPTA tersebut. Hotel budget di ibu negera menjadi tempat menginap mereka. Kerenah pelajar-pelajar jelas tertampak, apabila ada dikalangan mereka yang mengadu tidak selesa bermalam di Hotel itu. Guru mereka hanya menasihat supaya ingat tujuan mereka datang ke sini.

Bagaimana penerimaan pelajar-pelajar di atas nasihat tersebut?


Keesokkannya...

Kesemua delegasi dari SMA itu bergerak menuju ke IPTA pilihan mereka. Perjalanan dari hotel mengambil masa hampir 30 minit kerana terpaksa menghadapi kesesakan jalanraya yang teruk di ibu kota. Demi mencari sebuku pengalaman, mereka tetap bersemangat merendah liku jalanan untuk ke sana.


Di IPTA...

Pelajar-pelajar terus melangkah kaki dengan penuh jayanya dan semangat mengelilingi IPTA. Semua sudut diperhatikan. Segala pusat dan bilik dilawati mereka tanpa merasa segan silu. Ada dikalangan mereka yang bersua kenal dan bertegur sapa dengan orang-orang di sekitar sana. Pelbagai bangsa dijumpai, ada yang datang dari timur tengah, selatan asia dan termasuk negara Malaysia sendiri.


Nun di hujung astaka rehat, sedang berborak seorang guru dan dua pelajar rombongan. Dari jauh seolah-olah mereka sedang bertengkar mengenai sesuatu. Tapi apabila diamati, sebenarnya satu perbualan ilmiah sedang berlangsung...



Ikutilah perbualan menarik mereka.....

BACA SELANJUTNYA... - Pengajaran
Baca selanjutnya.. - Pengajaran

11/18/2009

Harapan Penulis...

Assalamualaikum wbt..
Kepada pembaca-pembaca, pelayar-pelayar internet dan pengemar-pengemar laman blog...

Ana di sini ingin meluahkan beberapa kekesalan dan kekecewaan. Di mana ana dapati ada suara-suara yang menyatakan segala artikel atau penulisan ana di dalam blog, semuanya “copy & paste”. Ana rasa dakwaan dan tuduhan begitu haruslah dibuktikan dengan bukti-bukti dan sandaran hujah yang kuat.


Sebelum itu, dinyatakan dahulu bahawa istilah “copy” atau dalam bahasa melayunya bermakna salin, membawa makna membuat salinan semula apa-apa yang terkandung di dalam bahan atau sesuatu asalnya kepada tempat lain atau bahan baru. Begitulah lebih kurang maknanya. Jadi, mereka yang menuduh dan mendakwa ana menyalin bererti ana telah melakukan salinan semula kandungan asalnya ke dalam blog ana.


Ana rasa tidak menjadi satu kesalahan, apabila maklumat mentah yang terdapat di dalam kitab muktabar asal atau apa-apa artikel asal diolah semula dengan gaya bahasa yang berbeza. Pendekatan begini pada ana tidak membawa sebarang tujuan peribadi atau sebagainya. Ana mencipta blog ini dan memaparkan artikel di dalamnya adalah bertujuan untuk mengembangkan ilmiah dan turut ingin berkongsi mengenainya.


Firman Allah swt lagi yang bermaksud :
“Berwaspadalah! Laknat Allah swt ke atas orang-orang yang berbohong” surah hud, ayat 18. Manakala mafhum daripada maksud tafsir ayat al-Quran “Fitnah itu besar dosanya berbanding dengan membunuh”.


Walaubagaimanpun, sekiranya ada kalian yang mendakwa sedemikian, maka ana cabar beliau untuk nyatakan dalam komen ana beberapa pembuktian seperti berikut :
a) Tajuk Artikel ana
b) Buku Asal yang ana “Copy”
c) Muka Surat
d) Nama Pengarang


Ana harap sangatlah, kalian semua dapat memahami objektif dan matlamat ana mencipta blog ini dan segala penulisan yang terdapat di dalamnya.
Sekian..Terima kasih..

Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, 3.32 pm, 17 November 2009..
BACA SELANJUTNYA... - Harapan Penulis...
Baca selanjutnya.. - Harapan Penulis...

11/13/2009

Peristiwa..

“Hari-hari berlalu macam biasa. Tiada yang pelik dan tiada yang baru. Tapi hari ini tiga sekawan bangun dari tidur untuk mengemaskan diri ke Gerbang Ilmu. Jauh terpisah dengan keluarga bukan lagi penghalangnya. Begitulah, ketabahan yang membentengkan hati dan perasaan mereka.”

2009, 12 November, Kajang....
Tiga sekawan yang masing-masing baru selesai kuliah terakhir, bergegas pantas keluar dari dewan. Mereka kemudian menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik kawan salah seorang daripada mereka. Kereta tersebut menuju ke Hentian Bas Kajang di Jalan Reko. Ketiga-tiga mereka akan menaiki bas dari hentian berkenaan untuk pulang ke utara tanah air pada jam 10.30 malam.

Haikal, Hanif dan Hisyam itulah nama tiga sekawan yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi awam di Bangi, Selangor. Haikal mengikuti pengajian dalam jurusan Syariah manakala Hanif dalam jurusan Usuluddin dan sementara Hisyam pula dalam jurusan Bahasa Arab. Mereka menjadi sahabat sejak terpaksa bermalam di masjid kerana ketiadaan tempat penginapan.

Setibanya mereka di Hentian Kajang, Hanif meminta diri sekejap untuk menunaikan solat Asar terlebih dahulu. Kawan-kawannya yang lain berada di ruang menunggu penumpang di tingkat atas hentian berkenaan. Haikal dan Hisyam mengambil kesempatan itu untuk melihat suasana riuh di sekitarnya.

Mata mereka sama-sama terarah ke sebuah kedai makan di bawah sebelah bangunan mereka. Ramai orang sedang menjamu selera di sana. Tiba-tiba telefon Haikal berdering. Dia terus menjawab panggilan tersebut. Dalam masa sama, Hanif datang untuk mengajak mereka turun ke bawah bagi memenuhi nafsu perut yang sangat gersang. Haikal memberitahu kepada Hanif dan Hisyam bahawa kawan satu pejabat dengannya berada di restoran menunggu mereka.

Mereka pun bergerak menuju ke restoran itu. Sampai saja mereka di sana, Haikal melihat kawannya Hasrul bersama seorang lelaki yang dia tidak kenal sebelum ini. Hanif dan Hisyam menyapa dan memperkenalkan diri kepada Hasrul. Tetapi malangnya, mereka tidak dapat berborak semeja kerana ruang tidak mengizinkan. Haikal duduk bersembang dengan Hasrul manakala dua orang kawannya berada di meja sebelah. Lelaki yang berada bersama Hasrul ialah Nazri. Hasrul mengenalinya semasa menaiki bas dari Kulim ke Hentian Kajang. Nazri memaklumkan bahawa dia adalah pemandu bas Konsortium dan sedang menunggu trip dari Melaka untuk ke Kelantan pada pukul 9.30 malam.

Satu jam selepas itu........
Haikal dan kawan-kawannya terpaksa berpisah dengan Hasrul kerana hala tuju mereka berbeza. Hasrul menuju ke Bangi untuk mengikuti kursus selama empat hari manakala Haikal dan kawan-kawannya pula akan pulang ke Pulau Pinang. Nazri, lelaki yang baru dikenali tadi mengikut mereka. Nazri memberitahu mereka sementara menunggu bas dari Melaka datang, dia ingin bersama-sama ke surau untuk menunaikan solat jama’ Maghrib dan Isyak.

Surau...........
Nazri meminjam telefon Haikal untuk menghubungi kawannya (pemandu bas) yang dalam perjalanan dari Melaka. Haikal memberinya, tetapi Nazri hanya meminta kawannya menghubungi balik tanpa bercakap panjang. Nazri berbuat demikian sebanyak dua kali. Haikal nampak pelik dengan gelagat Nazri yang tidak bersungguh-sungguh menghubungi kawannya sedangkan Haikal sudah menyuruh bercakap bukannya meminta dihubungi semula.

Atas situasi tersebut, Haikal mengambil telefonnya yang sedang berada dalam tangan Nazri dan meletakkan di dalam begnya serta terus menzipkannya. Mereka telah menunaikan solat jama’ bersama-sama.

15 minit kemudian.....
Setelah selesai menunaikan solat, mereka bergegas ke tingkat atas kerana Haikal dan Hanif hendak ke tandas. Hisyam pula duduk menjaga beg kawan-kawannya itu. Nazri membawa Hanif ke tandas kerana Hanif memaklumkan dia terasa ingin membuang air besar. Manakala Haikal terasa pelik melihat tindak tanduk Nazri. Haikal memberitahu Hisyam bahawa dia curiga dengan perangai Nazri dan meminta Hisyam supaya berjaga-jaga.

Haikal kemudianya menuju ke tandas. Di sana, dia berjumpa dengan Hanif dan Nazri yang baru masuk ke tandas sedangkan mereka lebih awal datang. Haikal tidak banyak bercakap dan terus masuk ke bilik masing-masing.

15 minit kemudian.............
Haikal dan Hanif sama-sama keluar dari tandas dan pantas bergerak ke arah Hisyam. Lagipun, waktu bertolak bas mereka sudah dekat. Haikal terus mencapai begnya untuk turun ke bawah. Tetapi, Hanif nampak pelik dan seolah-olah sedang mencari-cari seseorang. Anak matanya jauh berkeliaran. Hanif kemudian menyuruh Haikal tunggu di atas sekejap dan dia bersama Hisyam turun ke bawah tanpa membawa beg bersama.

Haikal amat pelik dan risau dengan tindakan Hanif. Kemudian, Haikal menghubungi Hisyam dan bertanya, “apa yang telah berlaku?” Hisyam memberitahu bahawa telefon bimbit Hanif ada pada Nazri dan Nazri pula telah menghilangkan diri. Hanif telah menghubunginya namun tiada dijawab oleh Nazri. Keadaan semakin menjadi kelam kabut. Haikal juga cuba menghubungi nombor-nombor yang pernah Nazri hubungi menggunakan telefonnya tadi. Tetapi, semuanya tiada di dalam perkhidmatan. Sangkaan buruk terus menyelubungi fikiran Haikal.

Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 10.10 malam. Masa semakin hampir, namun Nazri juga tidak ditemui. Haikal yakin, usaha untuk menemui Nazri amat tipis sekali. Haikal bergerak menuju ke sebuah kaunter yang berhampiran dengan mereka. Haikal menanyakan penjaga kaunter dengan beberapa soalan. Hasilnya, penjaga kaunter memberitahu bahawa tiada bas Konsortium yang bertolak dari Kajang dan kaunter Konsortium sudah 3 bulan tidak beroperasi di situ. Kekeliruan terus menyelubungi.

Persoalan yang timbul dalam kotak pemikiran Haikal ialah, Siapa Nazri sebenarnya?
BACA SELANJUTNYA... - Peristiwa..
Baca selanjutnya.. - Peristiwa..

11/10/2009

Fasakh & Takliq ; Prosedur Dan Sebutan Di Mahkamah Syariah Pulau Pinang

Prosedur pemfailan kes Fasakh dan Takliq di mahkamah-mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang mempunyai amalan tersendiri sepertimana termaktub di dalam peruntukkan Enakmen Syariah Negeri Pulau Pinang 2004. Oleh demikian, setiap pemohon atau individu tidak boleh sewenang-wenangnya memfailkan kes mereka. Peruntukkan sedia ada haruslah diikuti tanpa mengira lapisan masyarakat atau lapisan jawatan dan pangkat.

Kes Fasakh dan Takliq dimulakan dengan memfailkan saman dan penyata tuntutan yang dibuat oleh pihak pemohon atau Plaintif secara sendirian atau dengan menggunakan khidmat peguam. Saman dan Penyata Tuntutan tersebut akan difailkan di Mahkamah dan Mahkamah akan menetapkan satu tarikh sebutan pertama di mana tempohnya 21 hari dari tarikh difailkan.

Semasa memfailkan saman dan penyata tuntutan ia juga mesti disertakan dengan dokumen penting pengenalan diri seperti salinan kad pengenalan, salinan pengesahan qariah permastautinan (bagi yang bukan berasal Negeri Pulau Pinang), salinan surat perakuan pernikahan dan salinan surat kelahiran anak.

Tempoh 21 hari yang diberikan oleh pihak mahkamah adalah untuk membuat serahan saman secara kendiri kepada pihak Defendan (suami). Maksud secara kendiri adalah menyerah terus kepada Defendan dan Defendan pula hendaklah menurunkan akuan atau tanda tangan sebagai mengaku menerima satu salinan saman dan penyata tuntutan.

Fakta di dalam Penyata tuntutan pula mestilah dinyatakan dengan jelas dan dapat memberi kefahaman kepada Defendan. Di dalamnya juga hendaklah menyebut secara khusus peruntukkan seksyen yang tepat mengenai tuntutan. Sebagai contoh perceraian takliq mestilah dibuat di bawah seksyen 50 manakala Perceraian Fasakh pula di bawah seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 2004. Namun perceraian fasakh mempunyai peruntukkan subseksyen yang luas. Oleh yang demikian, pengkhususan mestilah bersesuaian dan bertepatan. Di dalam hal ini, adalah disarankan kepada pihak-pihak yang terlibat agar mendapat khidmat peguam syarie supaya tidak berlaku kesilapan dalam menyediakan tuntutan.

Bentuk dan contoh untuk menyediakan saman dan penyata tuntutan ini boleh didapati di mana-mana Mahkamah Syariah di Pulau Pinang atau pejabat pengamal undang-undang (peguam). Kesalahan bentuk boleh mengundang kesukaran dan kesan negatif kepada setiap tuntutan kes.

Setelah proses serahan saman sempurna yakni dapat diserahkan kepada Defendan dengan cara kendiri. Proses seterusnya ialah sebutan pertama di mana hendaklah Plaintif atau peguamnya memaklumkan kepada mahkamah mengenai status serah saman kepada Defendan. Walau bagaimanapun, sekiranya pihak Defendan telah hadir pada tarikh tersebut. Ini kerana, Tuan Hakim (mahkamah) akan bertanya kepada Defendan samada dia telah menerima saman dan penyata tuntutan atau sebaliknya. Setelah saman diakui diterima oleh Defendan dan tidak bersetuju dengan dakwaan di dalamnya maka mahkamah akan memberikan satu tempoh untuk Defendan memfailkan pembelaan secara sendirian atau melalui peguam. Proses ini dinamakan peringkat menyempurnakan “Pliding” iaitu saling memfailkan tuntutan bertulis.

Pembelaan hendaklah difailkan kepada mahkamah dan Plaintif sebelum tarikh yang ditetapkan. Kandungan pembelaan boleh disertakan dengan memasukkan tuntutan balas atau “Counter Claim”. Di sini menunjukkan bahawa khidmat peguam syarie amat diperlukan bagi mengendalikan peringkat tersebut. Kemudian, secara ringkasnya setelah Defendan memfailkan ke mahkamah pembelaannya maka mahkamah akan mengarahkan kepada Plaintif untuk menjawabnya atau sebaliknya (tidak berhasrat untuk menjawab). Plaintif pula seandainya ingin menjawab pembelaan tersebut maka satu tarikh lain akan diberikan oleh pihak mahkamah sebagai ruang untuk Plaintif menyediakan Jawapan Pembelaan Bertulis secara sempurna dan baik.

Jawapan Pembelaan hendaklah difailkan Plaintif kepada Mahkamah dan Defendan sebelum tiba tarikh ditetapkan. Setelah mahkamah meneliti kesemuanya lengkap iaitu plinding maka mahkamah akan menetapkan satu tarikh perbicaraan. Plaintif dan Defendan juga diarahkan supaya memfailkan Ikatan Dokumen masing-masing sebelum tarikh perbicaraan. Ikatan Dokumen bermaksud setiap dokumen atau keterangan bertulis yang bergantungan dengan kes yang melebihi 3 dokumen. Walau bagaimanapun, proses ini terpulang kepada amalan-amalan sesuatu mahkamah atau Tuan Hakim. Tetapi proses menyediakan ikatan dokumen adalah digalakkan kerana memudahkan dokumen ditender atau dibuktikan serta digunapakai ketika perbicaraan. Contoh-contoh dokumen ialah seperti salinan kad pengenalan, salinan pengesahan qariah, salinan perakuan nikah, salinan sijil kelahiran anak, salinan laporan polis, salinan bil-bil utiliti dan elektrik, salinan resit bayaran, salinan laporan perubatan, salinan perjanjian, gambar-gambar dan sebagainya.

Proses ini adalah dinamakan sebagai peringkat sebutan kes. Peringkat inilah Plaintif dan Defendan akan menyediakan pelbagai persiapan untuk menghadapi peringkat perbicaraan. Dimaklumkan bahawa sebutan kes ini adalah yang melibatkan serahan saman secara kendiri namun untuk kes yang terpaksa dibuat serahan serahan gantian mempunyai sedikit berbeza. Penjelasan mengenai proses serahan gantian akan disediakan selepas ini.

Ikatan dokumen juga akan menghadapi beberapa keadaan yang berbeza. Keadaan itu adalah apabila ikatan-ikatan yang difailkan dipertikaikan kewujudannya. Maka di sini, mahkamah hendaklah mengarahkan bahawa diasingkan dokumen-dokumen yang dipertikaikan kerana satu perbicaraan bagi membuktikan keesahan dan kesahihan dokumen tersebut perlu diadakan. Perbicaraan ini akan melibatkan mahkamah terpaksa memanggil dengan cara “sepina” orang yang bertanggungjawab dengan pengeluaran dokumen atau orang menyedia dan merekod dokumen tersebut.

Proses sebutan boleh menyebabkan berlarutan panjang tempohnya apabila terdapat beberapa situasi seperti pihak-pihak tidak hadir, peguam tidak hadir, proses perlantikkan dan pertukaran peguam, hakim menghadiri kursus, kes-kes kecemasan, proses penyedian dokumen (pliding), proses serahan saman secara gantian dan banyak lagi.

Tulisan ini tidak berhasrat untuk menerang secara satu persatu situasi yang disebut di atas tetapi mungkin beberapa daripadanya dapat dijelaskan. Sekiranya berlaku serahan saman kepada Defendan tidak dapat disempurnakan secara kerdiri maka satu bentuk serahan alternatif atau gantian harus dibuat. Proses ini haruslah dibuat permohonan terlebih dahulu kepada mahkamah samada dengan cara lisan atau bertulis. Selepas mahkamah memberikan kebenaran maka proses berkenaan dapatlah disempurnakan dengan apa-apa cara yang dipohon. Sebagai contoh mengiklankan di dalam akhbar, tampalan di premis atau mahkamah, serah kepada wakil atau orang ketiga dan sebagainya.

Mungkin ada yang tertanya bagaimana pula bentuk proses permohonan bertulis. Itulah yang disarankan dan disebut disetiap para tulisan bahawa khidmat peguam amatlah diperlukan bagi melancarkan segala prosiding sebutan. Kebarangkalian boleh berlaku di mana mahkamah akan menyediakan satu “hard copy” yang diletakkan di papan kenyataan. Tetapi sejauhmana pula pihak-pihak terlibat mampu mengendalikannya tanpa kefahaman undang-undang.

Apa-apa pun terpulang kepada masing-masing. Inilah beberapa prosedur yang harus dilalui setiap tuntutan perceraian Takliq dan Fasakh di Mahkamah Syariah di Pulau Pinang. Semua ini diklasifikasikan sebagai zon sebutan kes di Mahkamah. Sebutan tidak akan panjang kalau tidak panjangnya akal yang terlibat. Renungkan.

Setelah selesai melalui proses sebutan ini Mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan. Kemungkinan rangkaian tarikh perbicaraan penuh atau satu tarikh dan bersambung satu tarikh ditetapkan Mahkamah atas pertimbangan dan keadilan bersama. Prosiding perbicaraan adalah jauh berbeza dengan sebutan. Jelasnya, perbicaraan melibatkan keterangan Plaintif dan Defendan, saksi-saksi, pembuktian dokumen dan sebagainya.

Kerana itu, janganlah asyik mudah menyalahkan Mahkamah Syariah melambatkan kes. Cuba memahami undang-undang dalam situasi sebenar. Sudah tentu satu jawapan jelas dan rasional didapati di sana. Demikian itu, sama-sama dan bersamalah memastikan Mahkamah Syariah sebagai Institusi Kehakiman dan keadilan yang Agung di bumi Allah SWT. InsyaAllah.

BACA SELANJUTNYA... - Fasakh & Takliq ; Prosedur Dan Sebutan Di Mahkamah Syariah Pulau Pinang
Baca selanjutnya.. - Fasakh & Takliq ; Prosedur Dan Sebutan Di Mahkamah Syariah Pulau Pinang

SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL SALAM

Bay a- Salam

Pengertianya :

Bahsa Arab : penyerahan dan al-Taslif bermaksud pendahuluan

Syarak : pembayaran harga barang atau produk dilakukan secara tunai semasa akad dan penyerahan produk tersebut ditangguhkan pada masa hadapa dan perkara tersebt telah dijelaskan di dalam kontrak yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Pensyariatan :

Surah al-Baqarah ayat 2 : 275.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (al-Katsani tth : 201) bermaksud :

“Nabi memasuki Madinah dan mendapati orang-orang Madinah membuat urus niaga al-Salam buah-buahan dua atau tiga tahun,”Lalu Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa membuat urusniaga pada suatu benda maka hendaklah urusniaga tersebut mengikut sukatan dan timbangan tertu serta tempohnya yang tertentu.”

Ijma’ Ulama : Ibn Qudamah, Ibn Munzir menyatakan “setiap ahli ilmu yang dikenali sepakat menyatakan bahawa al-Salam adalah harus.

Rukun-rukun Bay’ al-Salam

1. Aqidan

i) Penjual ii) Pembeli

2. Ma’qud ‘Alaih

i) Barang yang dibeli ii) Harga barang

3. Siqhah

i) Lafaz tawaran ii) Lafaz terimaan

Syarat-syarat Bay’ as-Salam

1. Barangan yang dibeli hendaklah boleh didapati di pasaran.

2. Barang hendaklah dijelaskan kuantiti dan kualitinya dengan mengambil kira faktor yang mempengaruhi harga barangan tersebut.

3. Pembayaran penjualan ini dibuat dengan tunai atau barang sekiranya ianya tidak melibat dua barang ribawi.

4. Masa penyerahan barangan juga perlu ditetapkan semasa kontrak dibuat.

BACA SELANJUTNYA... - SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL SALAM
Baca selanjutnya.. - SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL SALAM

SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL BELI


Jual Beli

Pengertiannya :

Bahasa Arab : Pertukaran sesuatu dengan sesuatu atau pertukaran harta dengan harta atau pertukaran sesuatu dengan harta.

Syarak : Pertukaran harta dengan harta mengikut cara yang khusus yang membawa kepada penyerahan dan penerimaan hak milik.

Dalil-dalil Pembuktiannya :

Surah al-Baqarah 2 : 275

Surah al-Nisa’ 4 : 29

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Sesungguhnya jual beli itu sah dengan adanya kerelaan”

Sepakat ulama mengharuskannya kerana atas dasar keperluan manusia semasa memerlukan pertukaran barang.

Rukun-rukun Jual Beli :

1. Aqidan

i) Penjual

ii) Pembeli

Syarat-syaratnya : mesti kedua-dua ini merupakan orang berakal dan waras. Yakni tidak sah kepada mereka yang gila dan tidak siuman. Kanak-kanak pula mesti mendapat keizinan daripada walinya. Peringkat pengiraan mumaiyiz ialah 7 tahun.

2. Ma’qud ‘Alaih

i) Barang yang dibeli

ii) Harga barang

Syarat-syaratnya :

a) Barang itu wujud

b) Barang itu bernilai dan manfaat

c) Barang itu mampu diserahkan

d) Barang yang dijual jelas diketahui

e) Barang itu ditentukan secar khusus

f) Barang itu hak milik sempurna

Bagi harga, jenis pembayaran juga haruslah ditentukan semasa majlis akad berlangsung, samada ansuran atau tunai.

3. Siqhah

i) Lafaz tawaran

ii) Lafaz terimaan

Syarat-syaratnya :

a) Mesti ada lafaz ketetapan urusan tersebut dengan tiga kriteria iaitu akad jual beli, harganya dan jenis barang itu.

b) Tawaran terima mesti berlaku dalam satu majlis.

c) Muawalat (berturut-turut) di antara tawar dan terima.

d) Tawaran dibuat ketika barang masih ada.

Syarat-syarat Jual Beli

1. Syarat Pembentukkan Kontrak(Syurut al-In’iqad)

Syarat yang perlu ada untuk menjadikan sesuatu kontrak itu terbentuk harus disisi syarak. Syaratnya pula mestilah :

a) (orang berkontrak)

i) Seorang berakal

ii) Berbilang

b) Tempat kontrak - Majlis penawaran dan penerimaan berlaku satu tempat

c) Barang yang dikontrak

i) Wujud dan ada.

ii) Barang bernilai

iii) Dimiliki

iv) Berupaya diserahkan ketika kontrak

d) Syarat pada penawaran dan penerimaam

i) Orang yang berkontrak mestilah berkelayakkan (al-Ahliyah)

ii) Ada persetujuan

iii) Dalam satu majlis

2. Syarat Perlaksanaan (Syurut al-Nafadh)

Terdapat dua syarat padanya :

a) Milik atau kuasa menjaga

b) Barang yang dijual bukannya hak orang lain.

3. Syarat Lazim (Syurut al-Luzum)

Kontrak jual beli mestilah mengandungi salah satu khiyar yang membolehkan salah satu pihak yang berkontrak memfasakhkan kontrak. Jika tidak terdapat khiyar maka kontark tersebut adalah luzum.

4. Syarat Sah (Syurut al-Sihhah)

Syarat ini juga terbahagi kepada dua yakni :

a) Syarat Umum

Syarat umum hendaklah tidak mengandungi salah satu daripada enam kecacatan iaitu ;

i) Kejahilan

- Jahil tentang barang

- Jahil tentang harga

- Jahil tentang tempoh bayaran

- Jahil tentang jaminan

ii) Paksaan

- Paksaan sempurna (ikrah mulji’)

- Paksaan tidak sempurna (ikrah ghair mulji’)

iii) Penangguhan

iv) Tipu

v) Bencana atau Kerugian

vi) Syarat Yang Merosak iaitu Syarat

b) Syarat Khusus

Syarat ini seperti berikut :

i) Terima serahan dalam kontrak penjualan harta tak alih.

ii) Mengetahui harga pertama jika penjualan itu adalah murabahah, wadi’ah

iii) Serah terima dua barang tukaran

iv) Cukup atau sempurna syarat salam

BACA SELANJUTNYA... - SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL BELI
Baca selanjutnya.. - SISTEM EKONOMI ISLAM : PENGENALAN DAN PEMAHAMAN DALAM ISU JUAL BELI
Related Posts with Thumbnails

kalendar

Penulis Blog

My photo
Seorang pengamal undang-undang syarie yang tinggal di utara tanah air...Nama sebenar adalah Muaz ibn Marzuki al-Hayazi ibn Ahmad al-Kedahi Berminat dengan perkongsian ilmu mengenai Islam.

artikel terkini