10/13/2011

Piawaian Sembahyang Berjemaah




Perkongsian seterusnya adalah berkaitan dengan garis panduan dan standard dalam melaksanakan ibadah secara berjemaah. Lebih sesuai, ianya dikenali sebagai syarat-syarat mengikut berjemaah. Di mana makmum itu haruslah memenuhi syarat-syarat berikut :

1. Bahawa sembahyang imam itu sah dan terhindar dari perkara-perkara yang membatalkan sembahyang. Contohnya ialah imam itu tidak berada di dalam keadaan berhadas samada hadas kecil mahupun hadas besar.



2. Bahawa sembahyang imam itu tidak termasuk sembahyang yang wajib diulang semula. Contohnya ialah imam itu tidak menanggung najis yang tidak dapat dihilangkan bersifat sementara kerana keuzuran. Situasi itu ialah apabila imam itu patah tangan kerana kemalangan, kemudian tangan itu dibaluti dengan kain yang ada bersamanya darah dan kekotoran. Maka imam itu harus mengulangi sembahyang kelak setelah ia bersih.



3. Bahawa imam itu bukanlah makmum kepada imam yang lain. Erti kata lain, imam atau orang yang hendak diikut mestilah sedang sembahyang seorang diri.



4. Bahawa imam itu orang yang fasih membaca al-Quran terutamanya al-Fatihah. Bacaanya memenuhi syarat-syarat sah al-Fatihah [rujuk kitab muktabar lain].



5. Bahawa makmum dan imam itu mengadap qiblat yang sama. Maka sekiranya, makmum itu berijtihad mengadab arah qiblat yang berbeza maka dia tidak boleh berimamkan imam itu.



6. Bahawa makmum itu mengetahui setiap pergerakkan imam yang diikutnya samada melalui penglihatan, perdengaran atau mubaligh.



7. Bahawa kedua-dua imam dan makmum itu berhimpun dan berada pada suatu tempat yang sama. Tidak boleh sekiranya kedua-dua di antara mereka berada di tempat yang berlainan. Sungguhpun hari ini dengan menggunakan teknologi, kedua-dua mereka saling boleh melihat antara satu sama lain. [Rujuk kitab muktabar bab mengenai jarak di antara imam dan makmum].



8. Bahawa makmum itu berniat mengikut imam itu atau berniat berjemaah. Maka batal sembahyang makmum itu kalau tidak berniat kerana akan berlaku perkara yang membatalkan sembahyang seperti menanti dengan panjang akan pergerakan imam itu sedangkan makmum tidak berniat mengikutnya.



9. Bahawa makmum itu tidak iktikad dan tidak meyakini akan batal sembahyang imamnya. Maksudnya, makmum itu mestilah iktikad dan yakin imam itu sah akan sembahyangnya.



10. Bahawa tiada menyalahi perbuatan sembahyang makmum dan imam itu di dalam hal-hal seperti sujud sejadah dan sebagainya.



11. Bahawa sepakat dan muafakat imam dan makmum itu mengenai aturan dan keadaan sembahyang mereka. Maka tidak sah sekiranya makmum menunaikan solat maghrib manakala imam menunaikan qada’ isyak sedangkan kedua-dua mengetahui hal tersebut.



12. Bahawa imam itu mestilah lelaki sekiranya makmum itu lelaki atau perempuan atau khunsa [mempunyai dua alat kelamin]. Maka tidak sah lelaki berimamkan perempuan walau sekalipun imam perempuan itu sangat arif dan alim dalam ilmu agama.



13. Bahawa mestilah makmum mengikut segala perbuatan imamnya selagi imam itu tidak melakukan perbuatan yang menyalahi di dalam sembahyang. Selain itu, makmum itu juga tidak boleh terkemudian dan terdahulu dua rukun sembahyang daripada imam itu.




Pesanan kepada semua yang membaca, sila dapatkan penjelasan daripada guru-guru agama apabila sukar memahami tulisan di atas ini. Untuk maklumat juga, informasi ini dipetik dari kitab [Hidayatus Sibyan dan Maniyatul Musolli]. Sekian..


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

kalendar

Penulis Blog

My photo
Seorang pengamal undang-undang syarie yang tinggal di utara tanah air...Nama sebenar adalah Muaz ibn Marzuki al-Hayazi ibn Ahmad al-Kedahi Berminat dengan perkongsian ilmu mengenai Islam.

artikel terkini