Prosedur pemfailan kes Fasakh dan Takliq di mahkamah-mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang mempunyai amalan tersendiri sepertimana termaktub di dalam peruntukkan Enakmen Syariah Negeri Pulau Pinang 2004. Oleh demikian, setiap pemohon atau individu tidak boleh sewenang-wenangnya memfailkan kes mereka. Peruntukkan sedia ada haruslah diikuti tanpa mengira lapisan masyarakat atau lapisan jawatan dan pangkat.
Kes Fasakh dan Takliq dimulakan dengan memfailkan saman dan penyata tuntutan yang dibuat oleh pihak pemohon atau Plaintif secara sendirian atau dengan menggunakan khidmat peguam. Saman dan Penyata Tuntutan tersebut akan difailkan di Mahkamah dan Mahkamah akan menetapkan satu tarikh sebutan pertama di mana tempohnya 21 hari dari tarikh difailkan.
Semasa memfailkan saman dan penyata tuntutan ia juga mesti disertakan dengan dokumen penting pengenalan diri seperti salinan kad pengenalan, salinan pengesahan qariah permastautinan (bagi yang bukan berasal Negeri Pulau Pinang), salinan surat perakuan pernikahan dan salinan surat kelahiran anak.
Tempoh 21 hari yang diberikan oleh pihak mahkamah adalah untuk membuat serahan saman secara kendiri kepada pihak Defendan (suami). Maksud secara kendiri adalah menyerah terus kepada Defendan dan Defendan pula hendaklah menurunkan akuan atau tanda tangan sebagai mengaku menerima satu salinan saman dan penyata tuntutan.
Fakta di dalam Penyata tuntutan pula mestilah dinyatakan dengan jelas dan dapat memberi kefahaman kepada Defendan. Di dalamnya juga hendaklah menyebut secara khusus peruntukkan seksyen yang tepat mengenai tuntutan. Sebagai contoh perceraian takliq mestilah dibuat di bawah seksyen 50 manakala Perceraian Fasakh pula di bawah seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 2004. Namun perceraian fasakh mempunyai peruntukkan subseksyen yang luas. Oleh yang demikian, pengkhususan mestilah bersesuaian dan bertepatan. Di dalam hal ini, adalah disarankan kepada pihak-pihak yang terlibat agar mendapat khidmat peguam syarie supaya tidak berlaku kesilapan dalam menyediakan tuntutan.
Bentuk dan contoh untuk menyediakan saman dan penyata tuntutan ini boleh didapati di mana-mana Mahkamah Syariah di Pulau Pinang atau pejabat pengamal undang-undang (peguam). Kesalahan bentuk boleh mengundang kesukaran dan kesan negatif kepada setiap tuntutan kes.
Setelah proses serahan saman sempurna yakni dapat diserahkan kepada Defendan dengan cara kendiri. Proses seterusnya ialah sebutan pertama di mana hendaklah Plaintif atau peguamnya memaklumkan kepada mahkamah mengenai status serah saman kepada Defendan. Walau bagaimanapun, sekiranya pihak Defendan telah hadir pada tarikh tersebut. Ini kerana, Tuan Hakim (mahkamah) akan bertanya kepada Defendan samada dia telah menerima saman dan penyata tuntutan atau sebaliknya. Setelah saman diakui diterima oleh Defendan dan tidak bersetuju dengan dakwaan di dalamnya maka mahkamah akan memberikan satu tempoh untuk Defendan memfailkan pembelaan secara sendirian atau melalui peguam. Proses ini dinamakan peringkat menyempurnakan “Pliding” iaitu saling memfailkan tuntutan bertulis.
Pembelaan hendaklah difailkan kepada mahkamah dan Plaintif sebelum tarikh yang ditetapkan. Kandungan pembelaan boleh disertakan dengan memasukkan tuntutan balas atau “Counter Claim”. Di sini menunjukkan bahawa khidmat peguam syarie amat diperlukan bagi mengendalikan peringkat tersebut. Kemudian, secara ringkasnya setelah Defendan memfailkan ke mahkamah pembelaannya maka mahkamah akan mengarahkan kepada Plaintif untuk menjawabnya atau sebaliknya (tidak berhasrat untuk menjawab). Plaintif pula seandainya ingin menjawab pembelaan tersebut maka satu tarikh lain akan diberikan oleh pihak mahkamah sebagai ruang untuk Plaintif menyediakan Jawapan Pembelaan Bertulis secara sempurna dan baik.
Jawapan Pembelaan hendaklah difailkan Plaintif kepada Mahkamah dan Defendan sebelum tiba tarikh ditetapkan. Setelah mahkamah meneliti kesemuanya lengkap iaitu plinding maka mahkamah akan menetapkan satu tarikh perbicaraan. Plaintif dan Defendan juga diarahkan supaya memfailkan Ikatan Dokumen masing-masing sebelum tarikh perbicaraan. Ikatan Dokumen bermaksud setiap dokumen atau keterangan bertulis yang bergantungan dengan kes yang melebihi 3 dokumen. Walau bagaimanapun, proses ini terpulang kepada amalan-amalan sesuatu mahkamah atau Tuan Hakim. Tetapi proses menyediakan ikatan dokumen adalah digalakkan kerana memudahkan dokumen ditender atau dibuktikan serta digunapakai ketika perbicaraan. Contoh-contoh dokumen ialah seperti salinan kad pengenalan, salinan pengesahan qariah, salinan perakuan nikah, salinan sijil kelahiran anak, salinan laporan polis, salinan bil-bil utiliti dan elektrik, salinan resit bayaran, salinan laporan perubatan, salinan perjanjian, gambar-gambar dan sebagainya.
Proses ini adalah dinamakan sebagai peringkat sebutan kes. Peringkat inilah Plaintif dan Defendan akan menyediakan pelbagai persiapan untuk menghadapi peringkat perbicaraan. Dimaklumkan bahawa sebutan kes ini adalah yang melibatkan serahan saman secara kendiri namun untuk kes yang terpaksa dibuat serahan serahan gantian mempunyai sedikit berbeza. Penjelasan mengenai proses serahan gantian akan disediakan selepas ini.
Ikatan dokumen juga akan menghadapi beberapa keadaan yang berbeza. Keadaan itu adalah apabila ikatan-ikatan yang difailkan dipertikaikan kewujudannya. Maka di sini, mahkamah hendaklah mengarahkan bahawa diasingkan dokumen-dokumen yang dipertikaikan kerana satu perbicaraan bagi membuktikan keesahan dan kesahihan dokumen tersebut perlu diadakan. Perbicaraan ini akan melibatkan mahkamah terpaksa memanggil dengan cara “sepina” orang yang bertanggungjawab dengan pengeluaran dokumen atau orang menyedia dan merekod dokumen tersebut.
Proses sebutan boleh menyebabkan berlarutan panjang tempohnya apabila terdapat beberapa situasi seperti pihak-pihak tidak hadir, peguam tidak hadir, proses perlantikkan dan pertukaran peguam, hakim menghadiri kursus, kes-kes kecemasan, proses penyedian dokumen (pliding), proses serahan saman secara gantian dan banyak lagi.
Tulisan ini tidak berhasrat untuk menerang secara satu persatu situasi yang disebut di atas tetapi mungkin beberapa daripadanya dapat dijelaskan. Sekiranya berlaku serahan saman kepada Defendan tidak dapat disempurnakan secara kerdiri maka satu bentuk serahan alternatif atau gantian harus dibuat. Proses ini haruslah dibuat permohonan terlebih dahulu kepada mahkamah samada dengan cara lisan atau bertulis. Selepas mahkamah memberikan kebenaran maka proses berkenaan dapatlah disempurnakan dengan apa-apa cara yang dipohon. Sebagai contoh mengiklankan di dalam akhbar, tampalan di premis atau mahkamah, serah kepada wakil atau orang ketiga dan sebagainya.
Mungkin ada yang tertanya bagaimana pula bentuk proses permohonan bertulis. Itulah yang disarankan dan disebut disetiap para tulisan bahawa khidmat peguam amatlah diperlukan bagi melancarkan segala prosiding sebutan. Kebarangkalian boleh berlaku di mana mahkamah akan menyediakan satu “hard copy” yang diletakkan di papan kenyataan. Tetapi sejauhmana pula pihak-pihak terlibat mampu mengendalikannya tanpa kefahaman undang-undang.
Apa-apa pun terpulang kepada masing-masing. Inilah beberapa prosedur yang harus dilalui setiap tuntutan perceraian Takliq dan Fasakh di Mahkamah Syariah di Pulau Pinang. Semua ini diklasifikasikan sebagai zon sebutan kes di Mahkamah. Sebutan tidak akan panjang kalau tidak panjangnya akal yang terlibat. Renungkan.
Setelah selesai melalui proses sebutan ini Mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan. Kemungkinan rangkaian tarikh perbicaraan penuh atau satu tarikh dan bersambung satu tarikh ditetapkan Mahkamah atas pertimbangan dan keadilan bersama. Prosiding perbicaraan adalah jauh berbeza dengan sebutan. Jelasnya, perbicaraan melibatkan keterangan Plaintif dan Defendan, saksi-saksi, pembuktian dokumen dan sebagainya.
Kerana itu, janganlah asyik mudah menyalahkan Mahkamah Syariah melambatkan kes. Cuba memahami undang-undang dalam situasi sebenar. Sudah tentu satu jawapan jelas dan rasional didapati di sana. Demikian itu, sama-sama dan bersamalah memastikan Mahkamah Syariah sebagai Institusi Kehakiman dan keadilan yang Agung di bumi Allah SWT. InsyaAllah.