Showing posts with label Sosial. Show all posts
Showing posts with label Sosial. Show all posts

11/30/2011

PROSES TUNTUTAN HADHANAH DAN NAFKAH ANAK [BAH. I]


Selepas berlaku perceraian di antara suami dan isteri atau ibu dan bapa, maka salah satu pihak boleh atau kedua-dua pihak boleh secara persetujuan bersama membuat tuntutan mengenai hadhanah dan nafkah anak di mahkamah. Tuntutan hadhanah hendaklah difailkan di mahkamah tinggi syariah manakala nafkah anak pula di mahkamah rendah di mana tempat pihak pemohon itu berada.


Proses bagi kedua-dua tuntutan ini biasanya difailkan dengan menggunakan khidmat peguam samada dari firma guaman swasta atau guaman kerajaan. Ini kerana terdapat beberapa perkara dan prosiding kes yang mana golongan awam tidak mampu mengendalikannya di mahkamah kelak. Berikut adalah salinan dokumen yang diperlukan bagi tujuan tersebut :

i) Kad pengenalan pemohon / Pengesahan Qariah

ii) Surat Akuan Perceraian / Perintah Perceraian

iii) Sijil Kelahiran Anak / Mykid

iv) Surat Pengesahan Sekolah / Tuisyen / Kelas Agama

v) Resit Bayaran Persekolahan / Tuisyen / Kelas Agama [Bulanan / Tahunan]

vi) Resit Bayaran Perjalanan / Tambang / Tiket Ke Sekolah [Bas / Van]

vii) Surat Caruman Insuran Kanak [Jika ada]

viii) Laporan Kesihatan / Perubatan Anak

ix) Laporan Polis Berhubung Isu Anak [Jika ada]

x) Lain-lain Dokumen Berkaitan Anak


Bagi tuntutan nafkah anak, mahkamah akan memutuskan sesuatu jumlah berdasarkan keperluan wajib dan asas bagi seseorang anak disamping mengimbanginya dengan kemampuan bapa. Mahkamah boleh untuk mengurangkan dan memerintahkan satu jumlah yang berbeza dengan tuntutan yang dibuat oleh anak atau orang yang menjaga anak tersebut apabila mahkamah berpuashati bahawa jumlah itu tidak berasas dan tidak dapat dibuktikan oleh pemohon. Namun sebaliknya, mahkamah juga boleh memerintahkan bapa untuk membayar satu jumlah seperti yang dituntut oleh ibu [pemohon] setelah mendapati jumlah itu relevan dan rasional.


Seterusnya berkenaan tuntutan hadhanah pula, mahkamah akan memutuskan tuntutan itu berdasarkan kebajikan anak bukan berdasarkan kebebasan, kekayaan, persamaan jantina dan kemewahan. Bahkan mahkamah juga tidak terikat secara mutlak dengan pilihan seseorang anak itu walaupun anak itu boleh membuat pilihan. Ini jelas menunjukkan bahawa kebajikan anak itu adalah lebih penting dari aspek-aspek lain. Kebajikan anak itu biasanya mencangkupi hal-hal berkaitan kasih sayang, pendidikan, kesihatan, pengaruh ikutan dan keselamatan.


Kedudukan ibu adalah paling utama dalam mendapatkan hak penjagaan anak berbanding bapa. Kenyataan ini juga telah disebut di dalam enakmen undang-undang keluarga islam setiap negeri. Bapa merupakan orang ketiga di dalam kedudukan tersebut selepas ibu dan ibu kepada ibu yakni atok sebelah ibu kepada anak itu. Selain itu, ibu juga mempunyai naluri dan perasaan kasih sayang yang kuat berbanding seorang bapa. Contoh yang dapat dikaitkan adalah di mana seorang anak yang baru dilahirkan boleh membesar dengan baik apabila berada bersama ibu berbanding bapa. Bahkan usia ketika itu, anak itu memerlukan susu ibu dan sudah tentu bapa tidak mampu menunaikanya dengan baik. Maka naluri keibuan adalah sangat penting di dalam diri seseorang kanak-kanak diusia 12 tahun pertama.


Walaupun begitu, terdapat beberapa keadaan seseorang ibu boleh terhalang dan gugur haknya dalam menjaga anak. Keadaan itu berlaku apabila mahkamah mendapati ibu telah melakukan perbuatan fahisyah atau maksiat secara terbuka dan boleh mendatangkan kemudharatan serta mempengaruhi anak. Kemudian, seseorang ibu yang berkahwin lain juga boleh menghalang hak daripada menjaga anak perempuannya bersama suami terdahulu kerana faktor perhubungan anak tersebut dengan bapa tiri / suami baru ibu. Faktor seterusnya, apabila ibu itu telah keluar dari agama / murtad [na’uzubillah]. Selain dari faktor murtad, mahkamah masih boleh mempertimbangkan pemohonan seorang ibu untuk mendapatkan hak penjagaan anak sekalipun ibu itu berkahwin lain dan didapati pernah melakukan fahisyah.

Bersambung...............

BACA SELANJUTNYA... - PROSES TUNTUTAN HADHANAH DAN NAFKAH ANAK [BAH. I]
Baca selanjutnya.. - PROSES TUNTUTAN HADHANAH DAN NAFKAH ANAK [BAH. I]

11/27/2011

BAB DUA : HUKUMAN SEBAT MENURUT ISLAM



Jenis Kesalahan Yang Dikenakan Sebat

Terbahagi kepada dua bahagian iaitu :

1) Kesalahan hudud ia terbahagi kepada dua iaitu :

a) Zina orang belum berkahwin [Surah al-Nur 24 : 2]

b) Penuduh zina (Qazaf) [Surah al-Nur 24 : 4]

c) Meminum arak [Sabda Nabi yang bermaksud : Bahawasanya Ali r.a telah menyebat al-Walid bin Uqbah kerana kesalahan meminum arak sebanyak empat puluh kali dan kemudian beliau berkata : Nabi saw dan Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali, Umar telah menyebat sebanyak 80 kali. Semuanya adalah sunnah, tetapi yang ini (40 kali) lebih aku sukai”.

2) Kesalahan takzir [Penentuan bagi kesalah-kesalahan takzir adalah setiap perbuatan maksiat samada meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram yang tidak ada hukuman yang ditetapkan atau tiada kaffarah, atau perbuatan-perbuatan berkenaan ada hukuman yang ditetapkan tetapi tidak boleh dijalankan kerana tidak cukup syarat pelaksanaannya.] Disebut di dalam kitab Muhadarat Fi al-Fiqh al-Jinai al-Islami karangan Muhammad Bahjat Utaibah.

Firman Allah swt bermaksud : “Dan perempuan-perempuan yang kamu kuatir akan durhaka, berilah kepadanya pengajaran yang baik, dan hukumlah dengan memisahkan tempat tidurnya dan kamu pukul (sebat) mereka.[al-Nisa 4 : 34]

Hadis Abu Burdah bahawa dia pernah mendengar rasulullah saw bersabda : Tidak boleh merotan seseorang lebih dari sepuluh kali sebatan kecuali pada kesalahan melibatkan hudud Allah sahaja.

Cara Pelaksanaan Hukuman Hudud

1) Perintah Dan Kebenaran Hakim

Setiap hukuman dan sebatan yang hendak dilaksanakan mestilah mendapat kebenaran dan perintah daripada Hakim/Imam. Rasulullah saw telah bersabda bermaksud : Empat perkara yang diserahkan kepada pemerintah iaitu mendirikan sembahyang Jumaat, mengutip pelbagai zakat, melaksanakan hukuman hudud dan qisas.

2) Kadar Bilangan Sebatan

Syarat-syaratnya ialah :

a) 100 atau 80 kali sebatan kesalahan qazaf.

b) 40 atau 80 kali sebatan kesalahan minum arak

c) Kesalahan-kesalahan takzir bergantung kepada perintah hakim/imam.

d) Kesalahan-kesalahan hudud yang tidak dapat dijalankan kerana kelemahan dari sudut pembuktian.

3) Kedudukan Dan Keadaan Pesalah

Syarat-syaratnya ialah :

a) Pesalah lelaki disebat secara berdiri

b) Pesalah perempuan disebat secara duduk

c) Bukan pada tempat-tempat merbahaya

d) Tidak boleh diikat tangan pesalah

e) Tidak boleh dibaringkan pesalah ke tanah

Kata-kata Sayidina Ali : Pukullah (sebatlah) dan berikan setiap anggota haknya dan awasi dari muka dan kemaluan.

4) Keadaan Pakaian Pesalah

Dibenarkan untuk memakaikan pakaian tetapi pakaian itu hendaklah nipis dan tidak tebal yang boleh menghalang rasa kesakitan. Bahkan Allah swt menyuruh melakukan sebatan dan bukan menyuruh menanggalkan pakaian dan sekiranya melakukan sebatan pada pakaian beerti melaksanakan sebatan.

Kata-kata Ibn Mas’ud : Dikalangan umat islam tidak ada perbuatan menanggalkan pakaian pesalah, membaringkannya, mengikta leher dan membelenggukan leher.

5) Ciri-ciri Alat Yang Digunakan

Syarat-syarat ialah :

a) Menggunakan cemeti bagi kesemua kesalahan hudud kecuali kesalahan minum arak. Walaubagaimanapun, kesalahan minum arak juga boleh digunakan cemeti. Tetapi kebiasaanya kesalahan ini disebat dengan menggunakan hujung-hujung kain, sepatu dan pelepah tamar.

b) Saiz alat sebatan itu hendaklah sederhana dan tidak terlalu lama atau baru.

c) Bukan tali yang kering kerana ia boleh melukakan dan mencederakan.

d) Hujung alat itu tidak disimpulkan atau diikat dengan bijian kecil

e) Cemeti yang digunakan mesti seutas sahaja dan tidak pecah. Sekiranya pecah, maka dia dikira bilangan sebatan berdasarkan bilangan pecahan.

Daripada Zaid bin Aslam : Bahawa seorang lelaki telah mengaku berzina pada zaman Rasulullah saw, maka Rasulullah saw meminta agar cemeti di bawa kepadanya, lalu di bawa cemeti lama yang telah hancur. Rasulullah saw telah menolak penggunaan cemeti tersebut dengan meminta cemeti lain yang lebih baru. Kemudian di bawa pula cemeti yang terlalu baru yang belum dibuang lebihannya. Rasulullah saw telah menolak penggunaan cemeti yang seperti itu dengan mengarahkan suapaya di bawa cemeti yang tidak terlalu baru atau lama, kemudian di bawa kepadanya cemeti yang seperti itu lalu Rasulullah saw memerintahkan supaya pesalah itu disebat. Diriwayatkan oleh Malik ibn Anas.

6) Cara Menyebat Pesalah

Cara-carnya ialah :

a) Sederhana, tidak terlalu kuat hingga mencederakan.

b) Mengangkat dengan segera setelah cemeti terkena badan pesalah.

c) Tidak mengangkat terlalu tinggi sehingga terdedah ketiakknya

7) Kelayakan Tukang Sebat

Syarat-syaratnya :

a) Dilakukan oleh seorang lelaki

b) Seorang yang pakar yang mengenali seluk beluk sebatan

c) Lelaki yang sederhana kudratnya bukan seorang yang kuat dan lemah.

8) Bahagian Badan Yang Disebat

Syarat-syaratnya ialah :

a) Tidak boleh disebat pada tempat yang sama

b) Dilakukan pada tempat yang banyak daging seperti pinggul dan paha.

c) Dikecualikan pada tempat yang membawa merbahaya iaitu muka, kepala, dada, perut, anggota kemaluan.

9) Faktor-faktor Penangguhan Sebatan

Sebab-sebab berlaku penangguhan ialah :

a) Kehamilan (sehinggakan melahirkan anak dan tamat tempoh nifasnya)

b) Sakit dengan harapan sembuh

c) Cuaca

Kesemua penangguhan bertujuan untuk mengelak kebinasaan atau kematian pesalah yang disebat. Ini kerana sebatan yang dikenakan bukanlah untuk membinasakan penjenayah tetapi bertujuan bagi memberi pengajaran kepada pesalah tersebut agar tidak lagi mengulangi kesalahan itu.

Sayyida Ali berkhutbah dan berkata : Wahai manusia, laksanakan hukuman hudud ke atas hamba sahaya kamu sama ada yang kuhsan atau yang tidak muhson kerana seorang hamba perempuan Rasulullah saw telah berzina, beliau memerintahkan aku merotannya. Apabila aku ingin merotannya, aku dapatnya baru kedatangan nifas, aku takut akan membunuhnya jika aku merotannya. Hal tersebut telah aku ceritakan kepada Nabi saw lalu beliau bersabda : Baguslah engkau, tinggalkan dia sehingga darah nifasnya berhenti.

10) Keringanan Dalam Hukuman Sebat

Setelah seseorang pesalah itu disahkan oleh doktor bahawa kesakitannya tidak boleh disembuhkan lagi, maka sebatan ke atas pesalah itu boleh diubah kepada lebih ringan dan tidak membinasakannya. Antara hukuman yang digantikan ialah dikurangkan bilangan sebatan dan alat sebatan.

Said bin Saad bin Ubadah ra meriwayatkan yang bermaksud : Di antara rumah-rumah kami terdapat yang tidak cukup sempurna kejadiaanya lagi daif. Ia tidak dapat menahan dirinya lalu melakukan hubungan seks dengan seorang amah. Saad bin Ubadah telah membawa perkara itu kepada Rasulullah saw, lalu baginda bersabda : Pukullah dia dengan pukulan seratus sebatan.mereka berkata : Wahai Rasulullah saw, dia lebih lemah dari yang demikian. Jika kami pukul dia dengan 100 kali sebatan tentulah dia mati. Rasulullah saw bersabda lagi : Ambillah tandan tamar yang mengandungi 100 tangkai dan pukullah dia dengan satu pukullan sahaja.

11) Sebab Dihentikan Sebatan

Hukuman hudud boleh digugurkan apabila berlaku perkara-perkara tersebut :

a) Pesalah menarik pengakuanya sebelum hukuman dilaksanakan

b) Saksi-saksi mengubah pendirian dan menarik balik kesaksian sebelum dilaksanakan hukuman samada secara beramai-ramai atau sebahagiannya dan bilangan tersebut tidak sampai empat orang.

12) Kehadiran Orang Awam Dan Dipertontonkan

Pelaksanaan hukuman mestilah dilakukan di tempat terbuka dan dihadiri oleh orang awam. Sebagaimana Firman Allah swt yang bermaksud : Dan janganlah hukuman keduanya (penzina yang akan disebat) itu disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman. [al-Nur 24 :2].

Jumlah bilangan orang yang hadir menyaksikannya pula tidak dinyatakan oleh para ulama. Bahakan para ulama berselisih pandangan mengenai hal ini. Walaubagaimanapun Ulama Tafsir iaitu al-Alusi telah berkata : kehadiran orang awam yang diperlukan bukan terletak pada sedikit atau ramai tetapi kehadiran yang dimaksudkan ialah sejumlah orang yang boleh menghebah dan menimbulkan pencegahan dan ia berbeza mengikut keadaan tempat dan peribadi seseorang.

Kehadiran orang awam sebenarnya adalah untuk :

a) Boleh menimbulkan kegerunan dan pencegahan kepada orang yang menyaksikan dan orang mendengar cerita itu.

b) Menjadi bualan dan bahan cerita kepada generasi akan datang.

c) Orang yang menyaksikannya mendoa rahmat kepada pesalah agar dia dapat bertaubat dan kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna.

Kaedah Hukuman Sebat Di Malaysia

Alat sebatan di Malaysia bercirikan seperti berikut :

a) Alat sebatan tidak dikira dengan pemegangnya dan hendaklah jenis yang sama

b) Diperbuat daripada rotan dan ranting pokok yang kecil

c) Tiada ruas atau buku

d) Panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 cm.

Peruntukkan yang mesti diikuti apabila melaksankan hukuman sebat :

a) Dipastikan dan disahkan oleh doktor bahawa pesalah itu di dalam keadaan baik sebelum disebat.

b) Ditangguhkan hukuman apabila didapati pesalah itu mengandung sehingga pesalah bersalin atau keguguran.

c) Dilaksanakan di hadapan doktor samada di mahkamah atau tempat ditetapkan

d) Orang yang melaksanakan hukuman hendaklah adil dan matang

e) Orang yang melaksanakan hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana dan tidak mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah

f) Setelah disebat, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tiadk menariknya

g) Sebatan boleh dikenakan ke seluruh badan kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit

h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

i) Lelaki dikenakan sebat dalam keadaan berdiri manakala perempuan pula di dalam keadaan duduk.

j) Penangguhan sebatan akan dilakukan apabila doktor mendapati dan mengesahkan pesalah tidak boleh menerima sebatan lagi. Kemudian apabila disahkan sudah pulih, maka sebatan akan diteruskan semula.

Kebaikan Hukuman Sebatan

Berikut adalah kebaikan hukuman sebatan :

a) Tidak membebankan perbelanjaan negara

b) Tidak melibatkan dan menyusahkan keluarga banduan

c) Tidak menjejaskan program negara kerana pesalah boleh kembali berkerja selepas dilakukan hukuman

d) Hukuman sebat boleh berubah mengikut kesalahan dan keadaan pesalah.

e) Dapat menakutkan pesalah kerana kesakitan dan majlis hukuman itu dikhalayak ramai

f) Melindungi pesalah dari keburukkan-keburukan penjara

Keburukkan Hukuman Penjara

a) Membebankan perbendaharaan negara

b) Melemahkan produktif negara

c) Tempat menimba dan memahirkan teknik melakukan jenayah

d) Memusnahkan perasaan tanggungjawab

e) Kerendahan tahap kesihatan dan akhlak

f) Kehilangan punca rezeki keluarga

g) Kemungkinan hukuman penjara digugurkan kerana penjara dihuni oleh ramai pesalah

KESIMPULAN

· Sebatan Islam adalah berbeza dengan sebatan yang dijalankan di Malaysia

· Hukuman sebatan juga tidak bertujuan untuk mencederakan penjenayah tetapi untuk mengajar dan memberi kesedaran kepada penjenayah agar tidak mengulanginya lagi.

· Hukuman sebatan juga adalah lebih baik berbanding hukuman penjara.

BACA SELANJUTNYA... - BAB DUA : HUKUMAN SEBAT MENURUT ISLAM
Baca selanjutnya.. - BAB DUA : HUKUMAN SEBAT MENURUT ISLAM

TAJUK BUKU : KEADILAN HUKUMAN SEBAT MENURUT ISLAM




PENDAHULUAN

Buku ini dipilih untuk dijadikan “book review” kerana ianya ini amat menarik dan sesuai di baca oleh semua lapisan masyarakat tidak kira yang mempunyai latarbelakang undang-undang mahupun golongan awam. Buku ini mempunyai informasi yang tepat dan jelas mengenai proses keadilan yang dilaksanakan melalui hukuman sebat menurut Islam. Maka pandangan serong terhadap hukuman sebat Islam dapat diperbetulkan dan diterima tanpa perlu rasa sangsi.

Seterusnya bagi mengupas segala kandungan dan maklumat berkenaan tajuk “KEADILAN HUKUMAN SEBAT MENURUT ISLAM” ini, pengarang buku ini telah membahagikannya kepada 4 bab besar. Di mana bab-bab yang terkandung di dalamnya adalah Falsafah Hukuman Menurut Islam [Bab 1], Hukuman Sebat Menurut Islam [Bab 2], Hukuman Sebat Di Penjara Malaysia [Bab 3] dan Keadilan Hukuman Sebat Dan Kesannya Dalam Membanteras Jenayah [Bab 4].

Penulis buku ini ialah Ustaz Hamidi bin Abdul Ghani. Beliau adalah Pensyarah dan Ketua Jabatan Al-Syariah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan Darul Naim. Dari sudut latarbelakang, beliau telah mendapat pendidikan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Islam Madinah kemudian meneruskan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dan Diploma Undang-undang & Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Selangor. Ustaz Hamidi juga pernah berpengalaman menjadi pensyarah, tutor dan pembentang di dalam seminar-seminar serta ketua editor kepada majalah Risalah al-Syariah. Selain itu, beliau juga merupakan pengamal undang-undang syariah yang sedang menjalankan amalannya di negeri Kelantan.

Sebagai kata-kata awal, buku ini mampu memberi kefahaman dan pengetahuan kepada pembaca mengenai perlaksanaan hukuman sebat Islam yang sebetulnya disamping memberi perbezaan yang berlaku di antara sebatan bukan Islam yang dipraktik di penjara Malaysia hari ini. Diharapkan semoga ulasan buku ini mampu mengubah pemikiran dan pendirian setiap pembaca khususnya tentang perlaksanaan hukuman sebat yang mana diketahui ia adalah sebahagian daripada hukuman hudud. Ameen

BAB SATU : FALSAFAH HUKUMAN MENURUT ISLAM

Hukuman dari segi bahasa : balasan (uqubah). Dari segi perundangan pula ialah tidak didapati secara jelas dan terperinci kerana para pengarang lebih gemar membincangkannya di bawah tajuk kecil dan berasingan sebagai contoh hudu, qisas dan sebagainya.

Abd al-Qadir Awdah : Hukuman dengan pembalasan yang ditentukan bagi kepentingan umum atas perlanggaran perintah syarak.

Muhammad Abd al-Mun’im : Pembalasan yang adil yang diadakan untuk kepentingan individu dan masyarakat apabila melakukan jenayah.

Muhamad Abu Zahrah : Kesakitan yang dikenakan ke atas penjenayah sebagai satu cegahan kepadanya.

Penulis Lain : Balasan yang diletakkan oleh Shar’ie untuk mencegah perlakuan yang ditegah oleh Allah swt meninggalkan apa yang diperintahNYA.

KESIMPULAN :

Hukuman ialah satu balasan yang adil yang ditetapkan untuk kepentingan individu dan masyarakt dan dikenakan ke atas penjenayah yang melakukan tegahan Allah swt dan meninggalkan perintahNYA.

HUKUMAN :

i) Kesakitan

ii) Fizikal

iii) Mental

iv) Kewangan

Semua ini adalah bertujuan untuk mencegah dan memberi pengajaran kepada individu dan masyarakat.

Falsafah Hukuman Dalam Islam

Falsafah ini adalah bertujuan :

i. Melindungi kepentingan masyarakat dan memperbaiki diri pesalah.

ii. Pembalasan ke atas perbuatan jahat dan mencegah mengulanginya.

iii. Penghapus dosa dan terselamat dari azab di akhirat.

iv. Satu ibadat untuk menuntut keredhaan Allah swt.

Menjaga Dan Kepentingan Awam

Tersebut sebagai “maqasid syari’ah” :

i) Memelihara agama

ii) Memelihara akal

iii) Memelihara keturunan

iv) Memelihara harta

v) Memelihara nyawa

Pembalasan

i) Bunuh

ii) Rejam / salib

iii) Potong tangan dan kaki secara bersilang

iv) Dibuang negeri

v) Potong tangan

vi) Hukuman balas seperti bunuh dibunuh balik dan sebagainya

Pencegahan

Ibn Humam telah menyebut tentang pencegahan yang berbunyi : Hukuman menjadi pencegahan sebelum melakukan jenayah dan menjadi penghalang selepas melakukannya iaitu dengan mengetahui pelaksanaan hukuman itu mencegah (masyarakat) dari melakukan jenayah, dan bila dikenakan hukuman selepas dilakukan jenayah, dapat menghalang penjenayah dari mengulang jenayah berkenaan. Terdapat dua jenis pencegahan iaitu :

i) Pencegahan khas

Siksaan dari Allah swt [al-Zukhruf 43 : 48]

ii) Pencegahan umum

Disaksikan oleh sekumpulan orang-orang beriman [al-Nur 24 : 2]

Antara caranya ialah rakaman dan secara langsung dsb.

Ibnu Arabi : Sesungguhnya hudud mencegah penjenayah dan masyarakat yang menyaksikan pelaksanaanya serta akan menjadi pengajaran bagi generasi akan datang kerana ceritanya menjadi perbualan masyarakat.

Al-Qarafi : Hukuman dikuatkuasakan untuk menolak kerosakan-kerosakan yang dijangkakan, kebanyakkan hukuman itu dikenakan terhadap para penderhaka (penjenayah) bagi menghalang mereka sendiri daripada mengulang perbuatan jenayah dan juga sebagai penghalang orang yang datang selepas mereka dari melakukan perbuatan berkenaan.

Pemulihan Dan Pendidikan

Al-Mawardi dan al-Farra telah berkata : Hukuman hudud dan takzir adalah bertujuan untuk pendidiakn, pemulihan dan pencegahan. Pendapat ini turut disokong dan dipersetujui Ibn Farhun mengenai pengertian takzir.

Di dalam kitab [Siyasah al-Shari’iyyah] yang dikarang oleh Ibn Taimiyyah, Ahmad ibn Abd Halim telah menyebut : Sekiranya seseorang itu melaksanakan hukuman jenayah dengan niat untuk memuaskan hatinya sendiri atau untuk membalas dendam maka dia dikira berdosa kerana bertentangan dengan tujuan pemulihan dan pendidikan.

Langkah-langkah yang dilakukan bagi membuktikan bahawa undang-undang Islam sebagai Pemulihan dan Pendidikan :

i) Taubat nasuha boleh mengugurkan tuntutan hudud yang berkaitan dengan hak-hak Allah. Ulama juga telah mengemukakan pandangan yang sama.

ii) Memberi kemaafan amat digalakkan oleh Syarak sebelum kes di bawa ke muka pengadilan. Seperti kes qisas dan takzir. Rasulullah saw bersabda “Berilah maaf dalam kes hudud sesama kamu sebelum sampai kepadaku, apabila telah sampai kepadaku dan disabitkan maka aku menjalankan hudud” diriwayatkan oleh Abu Daud.

iii) Penarikkan balik pengakuan seseorang jenayah menghalangnya dari dikenakan hukuman.

iv) Setiap hukuman hendaklah dibuktikan dengan saksi kepada kejadian tetapi Islam turut menghalang dari melakukan intipan dan mencari kesalahan orang.

v) Cuaca, keadaan dan kesihatan penjenayah haruslah dipastikan di dalam keadaan baik ketika melaksanakan hukuman.

Memuaskan Hati Pihak Mangsa

Hukuman atau balasan yang dilaksanakan hendaklah dapat memuaskan hati pihak mangsa dan keluarga agar tindakan membalas dendam tidak akan berlaku. Seterusnya hukuman itu dapat memberi kedamaian dan kehidupan yang bahagia kepada mangsa, keluarga mangsa, keluarga penjenayah dan masyarakat am.

Menghapus Dosa

Telah disebut di dalam undang-undang jenayah Islam, bahawa hukuman yang diterima setiap pesalah dapat menghapus dosa mereka di akhirat kelak. Justeru itu, pesalah akan membuat pengakuan secara sukarela kerana mengharap dosa mereka dapat dihapuskan di akhirat kelak. Antara yang membuat pengakuan ialah maiz dan perempuan al-Ghamidiah kerika di zaman Rasulullah saw. Rasulullah saw juga telah bersabda :

“Berjanjilah kamu dengan aku untuk tidak melakukan kepada Allah, tidak mencuri dan tidak berzina. Sesiapa yang menepati janjinya, maka padanya terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang melakukan salah satu dari perkara-perkara di atas lalu dihukum di dunia, maka itu adalah sebagai penghapus dan pembersih dosanya.” Diriwayatkan oleh Ubadah bin al-Samit. Juga diriwayatkan oleh al-Shaikhan.

Memberi Rahmat

Perlaksanaan hukuman hudud atau hukuman secara Islam ini di sesebuah tempat, negeri dan negara akan beroleh rahmat daripada Allah swt. Bahkan pesalah, mangsa dan masyarakt setempat akan turut mendapat keberkatan daripada Allah swt dan mengelak semua umat dari melakukan kejahatan dikalangan mereka. Seterusnya keamanan, kedamaian dan kemakmuran akan dirasai dan dikecapi bersama. Firman Allah swt di dalam al-Quran bermaksud :

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah di langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya”.

Sabda Rasulullah saw bermaksud : “Melaksanakan sesuatu hukum hudud di bumi adalah lebih baik dari hujan empat puluh malam”.

KESIMPULAN

· Hukuman hudud dapat diibaratkan seperti ayah mendidik dan mengajar anak atau seorang doktor merawat pesakitnya.

BACA SELANJUTNYA... - TAJUK BUKU : KEADILAN HUKUMAN SEBAT MENURUT ISLAM
Baca selanjutnya.. - TAJUK BUKU : KEADILAN HUKUMAN SEBAT MENURUT ISLAM
Related Posts with Thumbnails

kalendar

Penulis Blog

My photo
Seorang pengamal undang-undang syarie yang tinggal di utara tanah air...Nama sebenar adalah Muaz ibn Marzuki al-Hayazi ibn Ahmad al-Kedahi Berminat dengan perkongsian ilmu mengenai Islam.

artikel terkini

Kategori