2/07/2010

Komentar ; Proses Pengesahan Cerai di Mahkamah


Soalan :


Saya nak tau pasal proses pengesahan cerai di mahkamah...


Jawapan dan Komentar :


Alhamdulillah, saya telah membaca permintaan saudari dalam blog ini beberapa minggu yang lalu. Namun saya minta maaf kerana terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk menyediakan beberapa penjelasan dan komentar ini. Kebelakangan ini, mungkin saya agak sibuk dengan urusan kerja yang terlalu menimbun. Namun INSYAALAH, dikesempatan ini saya berikan yang terbaik sekadar kemampuan yang diberi pinjam oleh Allah swt.


Terlebih dahulu saya bersyukur dan memanjat kesyukuran kepada Allah swt kerana masih memberi nafas untuk menghirup udara-udara yang segar di dunia yang fana ini. Selawat salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw.


Alhamdulillah,,
Sebelum itu eloklah dijelaskan terlebih dahulu bahawa “Proses pengesahan cerai” di mahkamah membawa maksud permohonan untuk mengesahkan lafaz perceraian yang telah berlaku di luar mahkamah. Ini kerana ramai yang tersalah faham di mana mereka beranggapan bahawa proses pengesahan cerai beerti permohonan ingin bercerai. Saya harap selepas ini saudara/i dapatlah memahami situasi penggunaaan perkataan ini.


Proses pengesahan lafaz cerai di mahkamah tidaklah begitu rumit urusannya. Namun perlu diketahui bahawa setiap kes atau tindakan di mahkamah hendaklah mengikut beberapa prosuder yang ditetapkan. Dalam kes ini, suami atau isteri hendaklah memfailkan saman berserta penyataan tuntutan kepada mahkamah terlebih dahulu. Bentuk saman dan penyataan tuntutan ini bolehlah didapati di mahkamah atau melalui mana-mana pejabat peguam.


Bentuk saman selalunya tidak menjadi masalah kerana mahkamah akan sediakan kepada pihak-pihak (orang awam). Cumanya penyata tuntutan sahaja mestilah disediakan sendiri oleh pihak-pihak berpandukan contoh yang diberikan Mahkamah. Berikut adalah maklumat yang perlu diyatakan di dalam penyataan tuntutan secara berperenggan :


1) Nama dan maklumat Plaintif (isteri atau suami)
2) Nama dan maklumat Defendan (suami atau isteri)
3) Maklumat latar belakang perkahwinan dan disertakan juga maklumat keluarga.
4) Maklumat kehidupan perkahwinan secara ringkas.
5) Maklumat lafaz perceraian yang telah dibuat di luar mahkamah.



Maklumat ini hendaklah dinyatakan dengan jelas dan tepat. Pastikan perkataan lafaz itu dinyatakan dengan betul sepertiman yang telah berlaku. Begitu juga masa dan tempat lafaz serta bilangan lafaz. Sebarang kesilapan maklumat memungkinkan keputusan yang salah diberikan.


Setelah saman dan penyataan telah difailkan kepada mahkamah maka satu tarikh akan ditetapkan untuk sebutan pertama kes. Tarikh sebutan pertama bertujuan untuk saman tersebut diserahkan kepada Defendan (suami/isteri) (rujuk situasi ini dari mana-mana pengamal undang-undang. Saya tidak memberi penjelasan kerana agak terlalu panjang). Setelah saman berjaya diserahkan kepada Defendan dan apabila Defendan juga menghadirkan diri pada tarikh tersebut maka mahkamah mengajukan beberapa soalan kepada Defendan seperti di bawah :


1. Adakah kamu telah menerima saman dan penyataan tuntutan yang difailkan oleh Plaintif?
2. Adakah kamu telah membaca dan memahaminya?
3. Adakah kamu mengakui segala penyataan tersebut?


Maka, sekiranya Defendan mengakui penyataan tersebut mahkamah boleh meneruskan perbicaraan pada tarikh tersebut. Tetapi sekiranya pula Defendan menafikan segala penyataan yang terkandung di dalam maka mahkamah akan mengarahkan Defendan memfailkan pembelaannya dan menetapkan satu tarikh baru untuk tindakan itu.


Ringkasnya, apabila Defendan telah berjaya memfailkan pembelaan kepada mahkamah dan sesalinan juga diberikan kepada Plaintif maka mahkamah boleh membicarakan pada tarikh berkenaan atau mungkin juga satu tarikh ditetapkan bagi sesi perbicaraan dijalankan. Setelah selesai pebicaraan maka mahkamah barulah mengeluarkan apa-apa perintah dan keputusan mengenainya.


Perlu diingatkan juga bahawa perbicaraan akan melibatkan beberapa saksi disebelah Plaintif dan juga Defendan. Situasi begini akan berlaku setelah kedua-dua belah saling tidak mengakui dan menafikan segala penyataan yang difailkan. Sebaliknya pula, apabila pihak-pihak mengakui dan menyetujui penyataan yang difailkan maka perbicaraan yang dijalankan agak mudah dan tanpa memerlukan saksi.


Begitulah sedikit sebanyak penjelasan dan komentar yang mampu saya kongsikan kepada saudari di atas persoalan yang diajukan. Sekiranya komentar ini masih tidak menjawab persoalan saudari, saya harap saudari utarakan semula persoalan tersebut melalui :


lisanislam@gmail.com atau ibn al-Hayazi (facebook) atau http://www.ikhwanulislam.blogspot.com/ atau +6017-3792 686...


sekian, assalamualaikum...

BACA SELANJUTNYA... - Komentar ; Proses Pengesahan Cerai di Mahkamah
Baca selanjutnya.. - Komentar ; Proses Pengesahan Cerai di Mahkamah

Hubungan Imam & Makmum



Assalamualaikum wbt, alhamdulilah saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana memberi kesempatan waktu dan kelapangan masa untuk saya coretkan sedikit sebanyak pengetahuan yang sedia ada dalam diri saya yang hina ini mengenai beberapa cara amalan dalam sembahyang. Terpanggil saya untuk memberi coretan ini kerana saya dapati kurang ada sebarang penulisan yang menyentuh hal-hal ini secara santai, mungkin ada di dalam kitab-kitab muktabar berbahasa arab ataupun kitab-kitab lama yang dipelajari di pondok-pondok kalian. Hubungan Imam dan Makmum yang saya maksudkan di sini ialah mengenai 4 keadaan iaitu bacaan qunut, tasyahud awal, sujud tilawah/sejadah dan sujud sahwi.

Walaubagaimana pun, penulisan ini bukanlah menghuraikan mengenai pentakrifan yang khusus dan mendalam tentang 4 amalan tersebut tetapi sekadar menyentuh hal-hal perlakuan yang berlaku semasa perlaksaan sembahyang secara berjemaah. Yakni membawa maksud tatacara perlaksaan di antara imam dan makmum dalam isu berkenaan. Baik.. Alhamdulillah…

Pertama, bacaan qunut di dalam sembahyang subuh. Permasalahannya ialah ;
1) Imam meninggalkan bacaan qunut di dalam sembahyang subuh, maka apa yang tindakan yang perlu dilakukan oleh makmum?

Sekiranya Imam meninggalkan bacaan qunut ketika menunaikan solat subuh maka makmum (tidak wajib) turut serta meninggalkannya. Dengan itu, makmum boleh (sunat) secara sendiri membaca qunut tersebut pada kadar yang singkat yakni membaca qunut ringkas / pendek.

2) Imam membaca qunut di dalam sembahyang subuh, bolehkah makmum meninggalkannya?

Kemudian pula, apabila Imam membaca qunut maka (tidak wajib) makmum mengikut imam membacanya. Hukumnya sunat sahaja makmum mengikut membaca akannya.
Kedua, tasyahud awal di dalam sembahyang waktu kecuali sembahyang subuh. Permasalahannya ialah ;
1) Imam meninggalkan tasyahud awal di dalam sembahyang, maka apa yang tindakan yang perlu dilakukan oleh makmum?

Apabila Imam meninggalkan tasyahud awal, maka makmum (wajib) turut meninggalkannya.

2) Imam bertasyahud di dalam sembahyang, bolehkah makmum meninggalkannya?

Kemudian pula, apabila Imam bertasyahud maka makmum juga (wajib) mengerjakannya. Makmum tidak boleh meninggalkan tasyahud awal kecuali dengan berniat berpisah dan bercerai dengan Imam (mufaraqah).

Ketiga, sujud tilawah/ sejadah di dalam sembahyang subuh pada setiap pagi jumaat. Permasalahannya ialah ;
1) Imam meninggalkan sujud tilawah/sejadah di dalam sembahyang subuh, maka apa yang tindakan yang perlu dilakukan oleh makmum? Dan Imam mengerjakan sujud tilawah di dalam sembahyang subuh pula, bolehkah makmum meninggalkannya?

Wajib makmum mengikut Imam ketika mengerjakan atau ketika meninggalkan sujud tilawah ketika sembahyang subuh pada pagi jumaat.

Keempat, sujud sahwi di dalam sembahyang kerana meninggalkan sebahagian tuntutan sunat ab’ad (sunat yang dituntut). Permasalahannya ialah ;
1) Imam meninggalkan sujud sahwi di dalam sembahyang, maka apa yang tindakan yang perlu dilakukan oleh makmum?

Dan sekiranya Imam tidak mengerjakan sujud sahwi, maka makmum (tidak wajib) mengikut imam. Dengan itu, makmum boleh mengerjakan sujud sahwi selepas salam imam, kerana tidak menyebabkan terbatalnya perlakuan makmum tersebut disebabkan imam dan makmum itu sendiri telah terpisah setelah salam imam.

2) Imam mengerjakan sujud sahwi di dalam sembahyang, bolehkah makmum meninggalkannya?

Dan apabila imam mengerjakan sujud sahwi pula, makmum hendaklah (wajib) mengikut mengerjakannya kecuali makmum tersebut berniat untuk berpisah (bercerai) dengan imam tatkala imam mengerjakan sujud sahwi (mufaraqah).


v Segala perbincangan di atas adalah merujuk di dalam kitab-kitab aliran mazhab al-Syafie dan tidak mengikat mana-mana mazhab yang selain daripadanya.
v Penggunaan istilah WAJIB di atas bukan bermaksud “Setiap apa yang dilakukan mendapat pahala dan apa yang ditinggalkan mendapat dosa” tetapi membawa pengertian terikatnya hubungan di antara Imam dan Makmum itu dalam perlakuan sembahyang mereka. Lebih tepat bahawa sebagai tali ikatan di antara keduanya.
v Pertikaian mengenai perselisihan pendapat mazhab empat tidak boleh dikelirukan di sini kerana perbincangan di atas adalah sekitar pemahaman aliran mazhab al-Syafie sahaja.
v Rujukan ialah : Kitab al-Hidayatus Sibyan, Kifayatul Muhtadi, Sabilal Mubtadi, Sulam Sibyan, Maniyatul Musholli, Sulam Mubtadi, Wisyahu al-Alfrah Waishbahu al-Falah.

Penang, Jam 13:00, 25 Januari 2010. Ibn al-Hayazi / www.ikhwanulislam.blogspot.com
BACA SELANJUTNYA... - Hubungan Imam & Makmum
Baca selanjutnya.. - Hubungan Imam & Makmum

2/02/2010

WAHABI; Kewujudan Dan Pemikirannya.

Wahabi Dan Sejarahnya


Wahabi diasaskan oleh Muhammad bin Abd Wahab. Dinamakan Wahabi kerana diambil sempena nama bapanya Abd Wahab. Wahabi ini juga merupakan satu bahagian daripada Firqah Islamiyah sekitar (1702 – 1787 M). Mereka berpegang dengan Mazhab Hanbali dari sudut kefahaman fiqh dan disesuaikan dengan tafsir Ibn al-Taimiyyah (disebut di dalam munjid). Muhammad bin Abd Wahab lahir pada pada tahun 1115 H kemudian wafat 1206H. beliau dilahirkan di desa ‘Uyainah, Nejed (Riyadh) dari kabilah Banu Tamim. Saudaranya (Abang) bernama Sulayman bin Abd Wahab yang terkenal dengan buku karangannya (al-Showa’iq al-Ilahiyyah fi al-Rad ‘ala al-Wahabiah) yang bermaksud Petir Tuhan Untuk Menolak Fahaman Wahabi.


Pembangunan Pendidikan


Muhammad bin Abd Wahab mula mendapat pendidikan agama di Mekah dan Madinah. Malah beliau juga mendalami ilmu-ilmu syariat di sekeliling wilayah Islam seperti Basrah, Baghdad, Ashfahan, Qum, Kairo dan Hamadzan. Di antara guru-gurunya terawal ialah Sheikh Muhammad Sulayman al-Kurdi, Sheikh Abd Wahab (Bapanya sendiri) dan saudaranya Sulayman bin Abd Wahab. Diusia muda, beliau juga banyak membaca buku-buku karangan Ibn al-Taimiyyah (menurut Ustaz Hasan Khazib) rujuk m/s 401 Iktikad Ahli Sunah Wa al-Jama’ah karangan Sirajudin Abbas. Beliau juga mendapat pendidikan daripada Sheikh Abdullah bin Abd Latif seorang ulama di Hassa atau Hussa (ha sin bersabdu alif).


Gerakkan Pemikirannya


Beliau menyebarkan fahaman wahabi ini di desanya iaitu ‘Uyainah pada peringkat awal. Namun mendapat tentangan daripada Osman bin Ahmad bin Ma’mur iaitu Raja di sana ketika itu. Tentangan ini disebabkan raja tersebut mendapati fahaman-fahamn wahabi ini banyaknya yang ganjil. Kemudian beliau berpindah ke Basrah dan diusirkan oleh penguasa kerana fahaman yang didokongnya. Seterusnya, perpindahan beliau ke Dar’iyyah mendapat layanan baik dan pertolongan daripada Raja Muhammad bin Sa’ud dalam menyebarkan fahaman wahabi. Demikian itu, maka bergabunglah dua individu yang berbeza matlamat ini. Ibn Abd Wahab membawa fahaman wahabi manakala Ibn Sa’ud bertujuan memperkukuhkan pemerintahan dan kekuasaan. Erti kata lain gabungan di antara Raja dan fahaman Agama. Seperti juga Syiah dengan Syah Iran dan Syiah Imamiah dengan Imam di Yaman (Kashaf al-Syubhat).


Fatwa dan Penyebaran


Muhamad bin Abd Wahab dan Muhammad bin Abd sa’ud telah menghantar utusan ke Mekah menemui Raja atau Penguasa Mekah iaitu raja Mas’ud untuk menyebarkan fatwa Wahabiah. Tetapi Penguasa Mekah telah bertindak menangkap dan membunuh mereka kerana fatwa yang di bawa mereka tidak disukainya. Maka di sini telah bermula permusuhan di antara penguasa-penguasa mekah dengan kaum wahabi. Muhammad bin Abd Wahab juga terlibat di dalam siri perbahasan demi menyebarkan dakyahnya. Antara perbahasan yang berlaku ialah di anatar beliau dengan saudaranya sendiri iaitu Sulaiman mengenai isu kafir-mengkafir (takfir). Selain itu, Muhammad Abd Wahab terlibat dengan perbahasan lain juga yang melibat orang ramai.


Beliau juga bertekad untuk tidak mahu pergi ke Mekah dan Madinah kerana berpendapat di sana telah ramai orang-ornag membuat maksiat. Maksiat yang didakwanya ialah pergi menziarah ke makam nabi, mendoa dengan bertawassul, berdoa mengadap ke makam nabi, adanya kubah-kubah di atas perkuburan dan sebagainya lagi. Wahabi juga telah mengunakan pedang dan tentera dalam meperluaskan penyebarannya. Peristiwa pertempuran dengan tentera Gabenor Mesir menjadi titik tolak kekerasan yang dibawa oleh fahaman wahabi ini (Islam Tidak Bermazhab, Dr. Mustofa Muhammad Asy Syak’ah). Akhirnya wahabi dan fahamannya berjaya memasuki Mekah dan Madinah serta menyebarkan dan melaksanakan pengaruhnya di sana.


Pemikiran Dan Fahaman


Disenaraikan beberapa pemikiran dan fahaman yang di bawa oleh wahabi di Mekah dan Madinah :
1) Dilarang merokok
2) Dilarang melagukan azan
3) Tidak boleh memainkan radio dan alat bunyi
4) Dilarang melagukan “Qasidah”.
5) Tidak boleh melagukan bacaan al-Quran.
6) Tidak boleh membaca burdah.
7) Tidak boleh mepelajari dan mengaji sifat dua puluh sepertimana yang tertulis di dalm kitab Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
8) Imam dimasjid haram disatukan dibelakang Imam bernama Abu Samah.
9) Sembahyang berkaum diwaibkan.
10) Kubah yang terdapat di atas perkuburan sahabt dirobohkan dan diratakan.
11) Perayaan mauled dilarang kerana bid’ah.
12) Perayaan Isra’ dan Mikraj dilarang keras kerana ianya juga bid’ah.
13) Berpemergian dengan maksud ziarah ke makam nabi dilarang kecuali atas maksud untuk ziarah sahaja dan sembahyang di masjid Madinah.
14) Mendoa mengadap ke makam nabi dilarang.
15) Mendoakan dengan bertawassul dilarang keras.
16) Dan sebagainya.


Iktikad Ahli Sunah Wa al-Jama’ah, Hj. Sirajudin Abbas, Cetakan Pustaka Aman Press Berhad, 1996.

BACA SELANJUTNYA... - WAHABI; Kewujudan Dan Pemikirannya.
Baca selanjutnya.. - WAHABI; Kewujudan Dan Pemikirannya.
Related Posts with Thumbnails

kalendar

Penulis Blog

My photo
Seorang pengamal undang-undang syarie yang tinggal di utara tanah air...Nama sebenar adalah Muaz ibn Marzuki al-Hayazi ibn Ahmad al-Kedahi Berminat dengan perkongsian ilmu mengenai Islam.

artikel terkini