11/13/2009

Peristiwa..

“Hari-hari berlalu macam biasa. Tiada yang pelik dan tiada yang baru. Tapi hari ini tiga sekawan bangun dari tidur untuk mengemaskan diri ke Gerbang Ilmu. Jauh terpisah dengan keluarga bukan lagi penghalangnya. Begitulah, ketabahan yang membentengkan hati dan perasaan mereka.”

2009, 12 November, Kajang....
Tiga sekawan yang masing-masing baru selesai kuliah terakhir, bergegas pantas keluar dari dewan. Mereka kemudian menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik kawan salah seorang daripada mereka. Kereta tersebut menuju ke Hentian Bas Kajang di Jalan Reko. Ketiga-tiga mereka akan menaiki bas dari hentian berkenaan untuk pulang ke utara tanah air pada jam 10.30 malam.

Haikal, Hanif dan Hisyam itulah nama tiga sekawan yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi awam di Bangi, Selangor. Haikal mengikuti pengajian dalam jurusan Syariah manakala Hanif dalam jurusan Usuluddin dan sementara Hisyam pula dalam jurusan Bahasa Arab. Mereka menjadi sahabat sejak terpaksa bermalam di masjid kerana ketiadaan tempat penginapan.

Setibanya mereka di Hentian Kajang, Hanif meminta diri sekejap untuk menunaikan solat Asar terlebih dahulu. Kawan-kawannya yang lain berada di ruang menunggu penumpang di tingkat atas hentian berkenaan. Haikal dan Hisyam mengambil kesempatan itu untuk melihat suasana riuh di sekitarnya.

Mata mereka sama-sama terarah ke sebuah kedai makan di bawah sebelah bangunan mereka. Ramai orang sedang menjamu selera di sana. Tiba-tiba telefon Haikal berdering. Dia terus menjawab panggilan tersebut. Dalam masa sama, Hanif datang untuk mengajak mereka turun ke bawah bagi memenuhi nafsu perut yang sangat gersang. Haikal memberitahu kepada Hanif dan Hisyam bahawa kawan satu pejabat dengannya berada di restoran menunggu mereka.

Mereka pun bergerak menuju ke restoran itu. Sampai saja mereka di sana, Haikal melihat kawannya Hasrul bersama seorang lelaki yang dia tidak kenal sebelum ini. Hanif dan Hisyam menyapa dan memperkenalkan diri kepada Hasrul. Tetapi malangnya, mereka tidak dapat berborak semeja kerana ruang tidak mengizinkan. Haikal duduk bersembang dengan Hasrul manakala dua orang kawannya berada di meja sebelah. Lelaki yang berada bersama Hasrul ialah Nazri. Hasrul mengenalinya semasa menaiki bas dari Kulim ke Hentian Kajang. Nazri memaklumkan bahawa dia adalah pemandu bas Konsortium dan sedang menunggu trip dari Melaka untuk ke Kelantan pada pukul 9.30 malam.

Satu jam selepas itu........
Haikal dan kawan-kawannya terpaksa berpisah dengan Hasrul kerana hala tuju mereka berbeza. Hasrul menuju ke Bangi untuk mengikuti kursus selama empat hari manakala Haikal dan kawan-kawannya pula akan pulang ke Pulau Pinang. Nazri, lelaki yang baru dikenali tadi mengikut mereka. Nazri memberitahu mereka sementara menunggu bas dari Melaka datang, dia ingin bersama-sama ke surau untuk menunaikan solat jama’ Maghrib dan Isyak.

Surau...........
Nazri meminjam telefon Haikal untuk menghubungi kawannya (pemandu bas) yang dalam perjalanan dari Melaka. Haikal memberinya, tetapi Nazri hanya meminta kawannya menghubungi balik tanpa bercakap panjang. Nazri berbuat demikian sebanyak dua kali. Haikal nampak pelik dengan gelagat Nazri yang tidak bersungguh-sungguh menghubungi kawannya sedangkan Haikal sudah menyuruh bercakap bukannya meminta dihubungi semula.

Atas situasi tersebut, Haikal mengambil telefonnya yang sedang berada dalam tangan Nazri dan meletakkan di dalam begnya serta terus menzipkannya. Mereka telah menunaikan solat jama’ bersama-sama.

15 minit kemudian.....
Setelah selesai menunaikan solat, mereka bergegas ke tingkat atas kerana Haikal dan Hanif hendak ke tandas. Hisyam pula duduk menjaga beg kawan-kawannya itu. Nazri membawa Hanif ke tandas kerana Hanif memaklumkan dia terasa ingin membuang air besar. Manakala Haikal terasa pelik melihat tindak tanduk Nazri. Haikal memberitahu Hisyam bahawa dia curiga dengan perangai Nazri dan meminta Hisyam supaya berjaga-jaga.

Haikal kemudianya menuju ke tandas. Di sana, dia berjumpa dengan Hanif dan Nazri yang baru masuk ke tandas sedangkan mereka lebih awal datang. Haikal tidak banyak bercakap dan terus masuk ke bilik masing-masing.

15 minit kemudian.............
Haikal dan Hanif sama-sama keluar dari tandas dan pantas bergerak ke arah Hisyam. Lagipun, waktu bertolak bas mereka sudah dekat. Haikal terus mencapai begnya untuk turun ke bawah. Tetapi, Hanif nampak pelik dan seolah-olah sedang mencari-cari seseorang. Anak matanya jauh berkeliaran. Hanif kemudian menyuruh Haikal tunggu di atas sekejap dan dia bersama Hisyam turun ke bawah tanpa membawa beg bersama.

Haikal amat pelik dan risau dengan tindakan Hanif. Kemudian, Haikal menghubungi Hisyam dan bertanya, “apa yang telah berlaku?” Hisyam memberitahu bahawa telefon bimbit Hanif ada pada Nazri dan Nazri pula telah menghilangkan diri. Hanif telah menghubunginya namun tiada dijawab oleh Nazri. Keadaan semakin menjadi kelam kabut. Haikal juga cuba menghubungi nombor-nombor yang pernah Nazri hubungi menggunakan telefonnya tadi. Tetapi, semuanya tiada di dalam perkhidmatan. Sangkaan buruk terus menyelubungi fikiran Haikal.

Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 10.10 malam. Masa semakin hampir, namun Nazri juga tidak ditemui. Haikal yakin, usaha untuk menemui Nazri amat tipis sekali. Haikal bergerak menuju ke sebuah kaunter yang berhampiran dengan mereka. Haikal menanyakan penjaga kaunter dengan beberapa soalan. Hasilnya, penjaga kaunter memberitahu bahawa tiada bas Konsortium yang bertolak dari Kajang dan kaunter Konsortium sudah 3 bulan tidak beroperasi di situ. Kekeliruan terus menyelubungi.

Persoalan yang timbul dalam kotak pemikiran Haikal ialah, Siapa Nazri sebenarnya?

1 comments:

aznurrena said...

ragam manusia

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

kalendar

Penulis Blog

My photo
Seorang pengamal undang-undang syarie yang tinggal di utara tanah air...Nama sebenar adalah Muaz ibn Marzuki al-Hayazi ibn Ahmad al-Kedahi Berminat dengan perkongsian ilmu mengenai Islam.

artikel terkini